Dr Anuar
Dr Anuar

Kolej Tingkatan Enam Premium boleh tingkat jenama

FARAH SHAZWANI ALIFARAH SHAZWANI ALI
31 Jul 2024 03:34pm

Pelaksanaan Kolej Tingkatan Enam Premium dilihat mampu meningkatkan jenamanya di pasaran, sekali gus menarik perhatian dan minat ibu bapa untuk menghantar anak ke Tingkatan Enam.

Pensyarah kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ia juga memberi lebih banyak pilihan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran sebelum ke universiti.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melihat kepada penggunaan nama yang lebih baik seperti Kolej Pra-Universiti dan pengurusan sebagaimana kolej, bukannya menggunakan model sekolah.

“Kita sedia maklum kurikulum ditawarkan di Tingkatan Enam mempunyai standard yang tinggi dan mempunyai piawai antarabangsa, sebab itu boleh menggunakan kelayakan STPM untuk menyambung pengajian ke universiti, termasuk di luar negara.

“Bagaimanapun, saya melihat keperluan untuk tambah baik program Tingkatan Enam ini kerana kita akan berhadapan dengan sekumpulan pelajar yang sudah dewasa. Alhamdulillah, KPM telah menyediakan institusi yang dipanggil sebagai Kolej Tingkatan Enam tapi sebaiknya jangan guna istilah Tingkatan Enam.

“Saya membayangkan kita menggunakan kolej pra-universiti. Jadi apabila masuk, mereka sudah ada ‘mindset’ bahawa mereka berada di pra-universiti. Pengajar pula sepatutnya daripada kalangan pensyarah untuk kolej, begitu juga pentadbirannya diketuai oleh pengarah bukan lagi pengetua,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan KPM untuk melaksanakan program khusus Kolej Tingkatan Enam Premium yang dijangka bermula tahun hadapan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia bagi memastikan aliran Tingkatan Enam terus menjadi pilihan utama pelajar lepasan SPM dan akan diadakan secara silang kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi beberapa program penting dalam meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam.

Dr Anuar turut memuji langkah berterusan KPM dalam meningkatkan pendidikan kualiti Tingkatan Enam.

“Berdasarkan data, kita dapati berlaku sedikit pengurangan pelajar Tingkatan Enam, iaitu kira-kira 50,000 orang pada tahun 2013 ke 2014 kepada 40,000 orang sekarang ini. Ia mungkin disebabkan banyak pilihan lain seperti matrikulasi, asasi dan diploma.

“Bagaimanapun, kerajaan mula bertindak pada tahun 2022 dengan mengambil pendekatan menukarnya kepada Kolej Tingkatan Enam. Pada saya, ini satu usaha yang baik sebab kita nak beri peluang kepada mereka menyambung pelajaran.

“Kelebihan Tingkatan Enam ini, kebiasaannya berdekatan dengan kawasan kediaman. Jadi, mereka tak perlu masuk asrama, tinggal di luar dengan keluarga. Ini mendorong lebih ramai memilih ke Tingkatan Enam,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp