Komersialkan cendol segar dalam tin minuman, kini produk inovasi pelajar UMK makin hangat di pasaran
Komersialkan cendol segar dalam tin minuman, kini produk inovasi pelajar UMK makin hangat di pasaran

Komersialkan cendol segar dalam tin minuman, kini produk inovasi pelajar UMK makin hangat di pasaran

webadmin
28 May 2021 01:54am
A
A
A

KOTA BHARU – Cendol merupakan pencuci mulut pilihan rakyat Malaysia terutamanya ketika cuaca panas kerana rasanya yang manis dan menyegarkan.

Tambahan pula jika menikmatinya di warung atau gerai kaki lima. Cendol adalah adunan santan, gula melaka, kacang merah bersama parutan ais tentunya membangkitkan selera dan menghilangkan dahaga.

Namun, berikutan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika ini kerajaan tidak membenarkan sebarang dine-in di kedai makan atau restoran ini membantutkan selera para penggemar cendol.

Tetapi dengan inovasi dan kreativiti pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah berjaya menghasilkan produk inovasi iaitu VCendol iaitu cendol segar yang boleh diminum bila-bila masa atau dimana-mana pun.

Menurut Tuan Muhammad Muiz Tuan Nordin atau lebih mesra dengan panggilan Muiz, beliau mendapat idea untuk mengkomersialkan cendol di dalam tin minuman selepas melihat belum ada mana-mana syarikat yang menjual Cendol yang dibotolkan atau tin dalam pasaran.

Hasilnya dengan idea dan kreativiti itu, kini VCendol sudah terjual sebanyak 1000 botol sebulan. Bahkan, cendolnya menerima tempahan berkali ganda pada bulan Ramadan lalu.

Menurut Muiz, adalah penting bagi seseorang usahawan memperbaiki kaedah pemasaran masing-masing dan hasilnya beliau dapat mengetengahkan hasil produk baharu yang menggunakan elemen berdasarkan kepada inovasi dan penyelidikan.

Katanya, idea untuk menghasilkan VCendol itu diilhamkan dari inspirasinya yang mengagumi produk Housboom iaitu sejenis produk minuman "sparkling juice” oleh usahawan tempatan yang kini dipasarkan secara meluas di seluruh Malaysia.

"Saya dapati masih belum ada Cendol yang dibotolkan atau tin dalam pasaran dan bertitik tolak daripada situlah saya mula mengembangkan idea produk VCendol untuk dikomersialkan dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.

"Namun, konsep dan idea pada awalnya tidak semudah yang dirancangkan kerana kaedah penyediaan agak rumit dan kurang sesuai untuk dinikmati secara konsep "on the go” atau "ready to drink”.

“Tambahan pula, minuman cendol memang diketahui mempunyai tempoh yang singkat dan tidak boleh bertahan dalam tempoh lama untuk penyimpanan stok,” katanya.

Kajian dan penyelidikan

Bagi Muiz anak jati kelahiran Besut, Terengganu itu beliau tidak boleh mengalah dan berdiam diri sahaja.

Muiz nekad untuk membuat kajian dan penyelidikan untuk menghasilkan pencuci mulut tradisional itu dengan menerapkan formula baharu dan seterusnya dibotolkan serta boleh disimpan dalam tempohnya yang lama serta tidak mudah rosak.

"Akhirnya penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dilakukan itu berjaya dan telah menemui formula baharu untuk menghasilkan cendol segar yang tahan lebih lama tanpa menjejaskan rasa aslinya dan sedia diminum dalam tin.

"Untuk proses menghasilkan cendol yang berkualiti dan tahan lama adalah dengan menggunakan santan sawit yang berkualiti tinggi, kaya vitamin, kurang kolesterol, kurang lemak dan lebih tahan lama berbanding santan kelapa biasa," katanya.

Walaupun baru setahun dalam pasaran, anak muda ini terus menginovasikan cara pembungkusan VCendol dari botol plastik biasa ke tin plastik lut cahaya yang lebih bermutu tinggi, menjadikan ia minuman yang sedia diminum, dibotolkan menggunakan teknologi hot filling yang terjamin bersih dan tahan lama tanpa bahan pengawet.

Kini, minuman Vcendol telah divariasikan kepada tiga perisa iaitu Pandan, Mangga dan Strawberi yang dijual pada harga RM6.50 sebotol.

Menurut Muiz, kejayaan dan pencapaiannya hari ini banyak dibantu oleh ayahnya sendiri yang sanggup mengeluarkan modal untuk memulakan perniagaan.

Selain itu, Muiz juga mendapat sokongan dan kerjasama dari mentor pembimbingnya iaitu Pensyarah FKP, Dr Shamsuriana Sidek, yang banyak memberi tunjuk-ajar.

Pihak UMK melalui Pusat Pembangunan Dan Pendidikan Keusahawanan (CEED) Institut Keusahawanan (UMKEI) juga banyak membantu khususnya tentang ilmu keusahawanan dan kemahiran menerusi penganjuran pelbagai kursus disamping menyediakan pelbagai insentif kepada usahawan pelajar.

Untuk pemasaran pada musim PKP ini, Muiz lebih banyak menggunakan platform pemasaran secara online di media sosial seperti Facebook, dan juga Shopee.

Produk VCendol juga diedarkan secara offline oleh ejen-ejen yang di seluruh Malaysia, mini market dan pasaraya di Terengganu serta Koperasi sekolah terpilih.

Tidak ada jalan pintas

Sementara itu, Muiz berkata untuk mencapai kejayaan tidak ada jalan pintas kerana setiap usahawan perlu keberanian menyahut cabaran untuk menghasilkan produk sendiri.

Menurut Muiz, sejarah perniagaan cendol yang diusahakan oleh syarikatnya yang didaftarkan dengan nama Versatile Food and Beverage telah bermula dua tahun lalu iaitu pada Ogos 2019.

Syarikatnya telah di pelawa oleh pihak Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED) Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) bagi mewakili UMK untuk menyertai pertandingan program keusahawanan iaitu Pemerkasaan TeknoUsahawan MudaPreneur anjuran Kementerian Pengajian Tinggi.

Katanya, pada waktu itu beliau langsung tidak mempunyai sebarang produk untuk diketengahkan dan terpaksa memikirkan produk yang sesuai untuk dipertandingkan.

Bermula dari situ, beliau mendapat idea untuk membuat kelainan dengan menghasilkan minuman cendol dalam botol.

Pencapaian hebat VCendol Muiz

Produk VCendol juga telah berjaya memenangi beberapa anugerah termasuklah Pingat Emas pada 11th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREx 2021) anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dibawah kategori inovasi produk Premium Cendol in The Bottle.

Sebelum ini, produk VCendol juga telah memenangi Pingat Emas dalam eCarnival Research & Innovation (eCRI 2020) anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Pingat Perak bagi Pertandingan Rekacipta (PEREKA 2020) anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Muiz yang masih melanjutkan pengajian di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa berharap VCendol mampu menjadi jenama yang terkenal dan menjadi pilihan ramai suatu hari nanti.

Sumber: Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI

Pusat Komunikasi Korporat, UMK

Nama: Encik Mohd Adzwan Bin Kamaruzaman

Tel: 0199811719

E-mel: adzwan@umk.edu.my

Nama: Syarimie Wosley

Tel: 019 9681001

E-mel: syarimie@umk.edu.my

BERNAMA

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok