Konsert Aspirasi Muzikal pentas gilap bakat seni pelajar MRSM

nadzarul.amir
14 Dec 2022 09:48am
A
A
A

Konsert Aspirasi Muzikal yang memasuki edisi keempat menjadi platform terbaik menggilap bakat seni para pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Timbalan Pengarah (Sains Sosial) Bahagian Pendidikan Menengah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Zulkifli Hussain berkata, konsert berkenaan memberi tumpuan kepada penglibatan pelajar MRSM yang aktif dalam bidang pembangunan bakat terutamanyaa seni muzik, tari dan suara.

"MARA bukan sahaja melahirkan pelajar yang cemerlang akademik tetapi seimbang dan holistik termasuk dalam bidang kesenian.

"Penganjuran konsert dua hari tersebut bertemakan Ekspo Muzikal 80'an X Tribute to Mamat Khalid yang dilihat mampu mencabar kreativiti pelajar dalam menghasilkan satu persembahan kreatif," katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

MARA bukan sahaja melahirkan pelajar yang cemerlang akademik tetapi seimbang dan holistik termasuk dalam bidang kesenian.

Beliau menjelaskan, pelajar menterjemahkan kreativiti persembahan dengan menggunakan alatan muzik caklempong, sape dan wind orchestra.

Konsert Aspirasi Muzikal yang diadakan di Performing Arts Theatre, Management and Science University (MSU), Shah Alam, baru-baru ini melibatkan 9 buah MRSM termasuk MRSM Felda Trolak, Sungkai; MRSM Taping; MRSM Lenggong, Perak; MRSM Mukah, Sarawak; MRSM Kuala Klawang, Negeri Sembilan; MRSM Langkawi, Kedah; MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang; MRSM Tun Dr Ismail, Johor; dan MRSM Tun Muhammad Fuad Stephen, Sandakan, Sabah.

Dr Zulkifli menambah, penganjuran konsert kali ini turut mengangkat karya pengarah filem terkenal, Allahyarham Mohamad Mohamad Khalid atau dikenali Mamat Khalid yang menaikkan semula zaman muzik rock mengikut arahan serta acuan tersendiri dalam bidang perfileman.

Konsert Aspirasi Muzikal mengangkat karya pengarah filem terkenal, Allahyarham Mamat Khalid.

Katanya lagi, beberapa adegan filem-filem rock sentuhan Mamat Khalid dilakonkan semula pelajar-pelajar MRSM sebagai tanda penghargaan.

Konsert Aspirasi Muzikal turut mendapat kerjasama daripada Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia, Enjit-Enjit Semut Motion Pictures, Sarang Art Hub, MSU dan Ansara Malaysia.

Artikel berkaitan

MRSM Music Festival imbau kenangan bergelar pelajar

Tarik minat 177 pelajar MRSM Tingkatan 3, bangunkan aplikasi Artificial Intelligence (AI)

Semakan tarikh ujian tawaran MRSM 2023 Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 bermula hari ini!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok