HomeKomunitiMRSM Music Festival imbau kenangan bergelar pelajar

MRSM Music Festival imbau kenangan bergelar pelajar

Alumni Anak Sains MARA (ANSARA) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) buat julung kalinya akan menganjurkan MRSM Music Festival pada 29 Oktober ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan jangkaan lebih 5,000 pengunjung.

Menurut Penerbitnya, Mohamad Fadzil Shari, pihaknya telah membuat perancangan untuk mengadakan konsert tersebut sejak April lalu sempena meraikan ulang tahun ke-50 tahun penubuhan MRSM.

“Pada tahun ini, sudah genap 50 tahun penubuhan MRSM yang pertama di Seremban, Negeri Sembilan pada 1972 dan kini sudah berkembang kepada 54 buah di seluruh negara.

Latihan sedang giat dijalankan oleh ANSARA bagi memastikan konsert Sabtu ini berlangsung dengan jayanya di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Sempena ulang tahun, kumpulan alumni yang dikenali sebagai ANSARA mengambil pendekatan untuk mengadakan pertemuan yang terbesar dalam kalangan bekas pelajar.

“Pertemuan tersebut akan diiringi dengan konsert, aktiviti sampingan dan lebih menggembirakan apabila ia mendapat persefahaman daripada pihak Muafakat yang terdiri daripada ibu bapa, guru dan pelajar MRSM untuk menjayakan sambutan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Penerbit MRSM Musicfest 2022, Mohamad Fadzil Shari.

Mohamad Fadzil juga berkata, festival ini akan menggabungkan persatuan bekas pelajar MRSM, pelajar Kolej Profesional MARA dan pelajar Kolej MARA untuk berada di atas pentas yang sama dengan mempersembahkan pelbagai genre muzik.

Tambahnya, festival ini turut menampilkan pelbagai aktiviti sampingan untuk memeriahkan acara sepanjang hari yang bermula seawal pukul 7 pagi.

“MRSM Music Festival bukan hiburan semata-mata kerana ia padat dengan pelbagai aktiviti yang akan berlangsung sejak awal pagi hingga ke malam.

“Kami akan memulakan acara dengan aktiviti larian santai di sekitar Stadium Bukit Jalil dan Axiata Arena yang terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada alumni atau pelajar MRSM sahaja.

“Pada masa yang sama, lebih 300 peniaga yang terdiri daripada alumni MRSM turut terlibat menjayakan ekspo jualan yang akan menjual makanan, minuman, pakaian dan barangan lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Fazil memaklumkan, setakat ini, lebih 70 peratus daripada 5,000 tiket yang disasarkan sudah habis terjual sejak dilancarkan pada penghujung September lalu.

“Sekiranya mendapat sambutan menggalakkan terutama dari segi tajaan, kami merancang untuk menjadikan festival seumpama ini sebagai acara tahunan atau dwitahunan pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah MRSM, Kolej MARA, Sazlina Soyat berkata, festival yang diadakan itu akan menampilkan Pertandingan MRSM Got Talent iaitu pertandingan pentas daripada pelajar MSRM dan Kolej MARA.

Penolong Pengarah MRSM Got Talent, Sazlina Soyat.

“Pertandingan MRSM Got Talent yang diperkenalkan telah mendapat sambutan luar biasa dengan lebih 200 penyertaan diterima dari seluruh negara.

“Uji bakat Got Talent ini melibatkan tiga kategori iaitu nyanyian, tarian dan persembahan alat muzik dan sebanyak 31 penyertaan akan berentap di peringkat akhir yang akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000,” katanya.

Artikel berkaitan

MARA jayakan program Jelajah Pendidikan Luar Bandar

Elaun pelajar tajaan MARA dinaikkan

Tuah pelajar berkeperluan khas, menang hadiah kedua Festival Seni Monaco. Kagum!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok