Gambar hiasan. -Kredit foto Pexels
Gambar hiasan. -Kredit foto Pexels

KPM akan tukar buku teks fizikal kepada digital tangani isu beg berat

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
09 Mar 2023 04:28pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) masih berusaha untuk menukar bahan sistem pendidikan termasuk buku teks secara fizikal kepada digital bagi menangani isu beg berat dalam kalangan para pelajar.

Bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, kementerian perlu mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan semua murid dan ketersediaan capaian internet di sekolah-sekolah seluruh negara.

“KPM juga membangunkan sebahagian bahan pembelajaran dalam bentuk digital.

“Pada masa kini KPM telah memuat naik 754 buku teks digital dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa),” katanya.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berhubung penyelesaian masalah bagi meringankan beban beg berat dalam kalangan pelajar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

 Lim Hui Ying
Lim Hui Ying

Katanya, antara inisiatif lain yang dilaksanakan ialah penyediaan lokar sekolah rendah untuk semua murid Tahap Satu di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi serta mengehadkan bilangan buku latihan tidak melebihi dua buah buku bagi setiap mata pelajaran.

Hui Ying menambah, insiatif lain merupakan menerbitkan buku teks dalam format digital secara berterusan, penyusunan semula jadual waktu bagi membolehkan guru merancang Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara optimum dengan memperuntukkan masa bagi melaksanakan pendekatan modular dan bertema.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) agar murid diberi kelonggaran memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

“KPM yakin pendekatan yang dilaksanakan ini dapat menangani isu beg berat murid di sekolah secara berterusan,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok