No Image Caption

KPM beri komitmen sediakan fasiliti bangunan, kemudahan terbaik untuk sekolah di Sabah

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
13 Sep 2023 03:01pm
A
A
A



Bagi memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pelajar di Sabah dilaksanakan dalam keadaan selesa, Kementerian Pendidikan (KPM) terus memberi komitmen ke arah usaha menyediakan fasiliti bangunan sekolah di sana.

Komitmen tinggi itu terbukti dengan lawatan kerja Menterinya, Fadhlina Sidek melalui Program Tindak Susul Parlimen ke Tawau, Kunak dan Semporna, Sabah baru-baru ini bagi melihat sendiri keperluan pembaikan bangunan sekolah daif di tiga daerah itu.

Berdasarkan data KPM, sebanyak 305 projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah telah diluluskan di Sabah sehingga kini.

Kementerian itu juga sedang dan telah melaksanakan 996 projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah di seluruh negara yang mana 680 atau 68.3 peratus daripadanya merupakan di Sabah dan Sarawak.

Antara sekolah yang mendapat perhatian KPM ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Perdana di Tanjung Batu yang menumpang di bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jambatan Putih, yang diperbuat daripada kayu sejak tahun 1997 dan sudah pun dalam keadaan uzur.

Khuatir dengan keselamatan pelajar dan guru sekolah berkenaan, Ahli Parlimen Kalabakan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammady Suryady Bandy, menyuarakan permohonan bagi pembinaan segera bangunan baharu SK Perdana di tapak berhampiran SMK Pasir Putih.

"Infrastruktur uzur sekolah itu membahayakan murid dan kita sangat mengharapkan dengan kehadiran Menteri Pendidikan untuk Program Tindak Susul Parlimen, melihat sendiri keadaan sekolah ini supaya pembinaan dan perpindahan sekolah baharu disegerakan.

"Saya difahamkan Disember ini atau mungkin Januari depan, Surat Setuju Tawaran akan dikeluarkan kepada kontraktor oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Artikel Berkaitan:


“Kemudian memerlukan masa 18 bulan untuk disiapkan dan ini akan menggembirakan murid, guru dan ibu bapa, yang menanti sekolah baharu ini sekian lama," katanya seperti dipetik portal tempatan baru-baru ini.

Andi berkata, keadaan sekolah berkenaan sememangnya tidak selamat untuk para guru dan murid kerana tapaknya merupakan kawasan paya bakau yang ditebus guna.

Perkara tersebut secara tidak langsung menyebabkan sekolah itu mudah dinaiki air jika berlakunya air pasang ditambah dengan bangunan lamanya yang dibina daripada kayu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok