Fadhlina
Fadhlina

KPM laksana pelbagai inisiatif tangani isu kekurangan guru

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
12 Dec 2024 10:46am

Setiap tahun, isu kekurangan guru sering menjadi topik utama dalam dunia pendidikan.

Ia kerap terjadi di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sememangnya memandang serius terutama kekurangan guru bagi opsyen mata pelajaran kritikal.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya sentiasa mempertingkatkan sinergi dan kerjasama strategik dengan Pihak Berkuasa Melantik (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) serta agensi pusat berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Ujarnya, beberapa kaedah dipersetujui dan dilaksanakan untuk membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai cikgu bagi menangani isu kekurangan guru.

"Bagi jangka pendek dan sederhana, KPM sedang melaksanakan langkah pengambilan guru menggunakan kluster mata pelajaran selain turut memperluaskan pengambilan guru kepada graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara.

"KPM juga mengambil langkah dengan membuat pelantikan guru secara Contract of Service (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan," katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) berhubung langkah-langkah strategik yang sedang dan akan diambil bagi menangani kekurangan guru terlatih khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Artikel Berkaitan:

Sambung Fadhlina, guru-guru lantikan CoS itu akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun di Institut Pendidikan Guru (IPGM).

"KPM turut melaksanakan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan selama setahun bagi kursus sepenuh masa kepada graduan tanpa pendidikan bermula tahun ini.

"Kementerian juga melaksanakan tindakan dengan membuat pengambilan calon guru bagi Program Praperkhidmatan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi dalam beberapa bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah bermula tahun ini,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp