No Image Caption

KPM laksana program pendidikan untuk kanak-kanak GISBH

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
03 Oct 2024 04:20pm

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan program pendidikan untuk kanak-kanak rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) menerusi Kit Program Transisi Tahun Satu dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA).

Program yang telah berlangsung sejak 1 Oktober lalu, dirangka khusus untuk memberi akses pendidikan formal dan berstruktur kepada kanak-kanak yang terlibat bagi mengelakkan keciciraan pembelajaran.

KPM dalam satu kenyataan berkata, seramai 68 orang guru KPM telah terlibat secara langsung dalam program ini.

“Kit Program Transisi Tahun Satu dan PRISMA memberi penekanan kepada aspek sosioekonomi, kognitif dan fizikal kanak-kanak bagi membina keyakinan diri.

“Ini sebagai persediaan holistik termasuklah penguasaan literasi dan numerasi bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Tambahnya, modul ini juga turut menerapkan elemen yang dapat meningkatkan kesedaran tentang potensi diri serta memupuk keseimbangan dari aspek jasmani, emosi,rohani, sosial dan intelek (JERSI).

Ia juga sebagai persediaan untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran secara positif dan seterusnya mempersiapkan mereka untuk menghadapi suasana pembelajaran baharu.

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp