KPM perincikan penggunaan ‘live’ oleh guru ketika mengajar di dalam kelas

Adlan Farhan Azwan
25 Apr 2022 03:32pm
A
A
A

KAJANG - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperinci pendekatan sesuai mengenai guru yang membuat ‘live’ bagi tujuan pembelajaran di dalam kelas.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat guru-guru yang membuat ‘live’ ketika proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah.

“Perkara ini sedang diperincikan di peringkat kementerian kerana ia bukan saja melibatkan guru, tetapi murid-murid di dalam kelas turut terlibat sama.

Baca juga

Buat ‘live’ semasa mengajar, guru akan disiasat – KPM

Guna TikTok untuk pembelajaran, bukan tujuan peribadi – NUTP

“Kadangkala mereka akan berasa segan jika tidak boleh menjawab soalan-soalan yang diberikan oleh guru di dalam kelas kerana ramai yang sedang tengok menerusi ‘live’ yang dibuat oleh guru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Peraduan Melukis Poster dan Video Peringkat Kebangsaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau juga menasihatkan guru-guru untuk tidak berbuat demikian kerana impaknya amat besar khususnya kepada murid-murid di dalam kelas yang terlibat.

“Apabila guru mengambil tindakan untuk membuat ‘live’ secara dalam talian, anak-anak yang turut memasuki ‘live’ tersebut akan kekal berada di dalam media sosial sampai bila-bila.

“Sekiranya ada murid-murid yang tidak boleh menjawab soalan dan seterusnya ditertawakan oleh rakan sekelas, impaknya amat besar.

“Kita akan keluarkan satu makluman kepada guru-guru tentang perincian berkaitan ‘live’ sewaktu mengajar di dalam kelas,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Terdahulu, satu ciapan tular di media sosial apabila seorang pengguna memuat naik tangkapan skrin yang memaparkan dua orang guru yang sedang membuat ‘live’ di laman TikTok.

Perkara tersebut telah mendapat perhatian ramai apabila warga maya mula mempersoalkan sama ada terdapat kebenaran khusus yang membolehkan guru untuk menggunakan masa di pejabat untuk membuat ‘live’.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok