Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek

KPM sedia semak semula silibus pendidikan khas bagi pelajar sindrom Down

AZLEENDA SAHALUDIN
22 Mar 2023 04:49pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia menyemak semula silibus pendidikan khas bagi pelajar sindrom Down supaya sesuai mengikut keperluan semasa.

Menterinya, Fadhlina Sidek memberitahu, pihaknya menyambut baik cadangan itu supaya ia dikaji semula malah sentiasa menjalankan libat urus bersama pemegang taruh bagi meneliti silibus tersebut.

Fadhlina Sidek
Fadhlina Sidek

“Kami (KPM) mengambil kira kitaran ansur maju kanak-kanak berkeperluan khas atau orang kurang upaya (OKU) ini dan pengubahan atau penggubalan kokurikulum ada kepakarannya di KPM,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Memperkasakan Ilmu: Back to School (BTS) 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Jalan Batu (L), Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengulas lanjut tentang isu penutupan kantin sekolah pada bulan Ramadan, Fadhlina menekankan operasi kantin boleh diteruskan seperti biasa walaupun jumlah pelajar bukan Islam tidak ramai di sesebuah sekolah.

Tuturnya, tiada keperluan untuk kantin ditutup kerana tidak mahu timbul lagi situasi pelajar-pelajar yang makan di dalam stor atau di tepi longkang.

“Yang saya ingin tegaskan adalah soal keprihatinan kepada murid bukan Islam dalam bulan Ramadan kerana ini adalah kerajaan Madani atau kerajaan inklusif yang mana kedua-dua pihak perlu saling menghormati.

“Mereka yang berpuasa perlu menghormati yang tidak berpuasa dan begitulah sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, saya sarankan untuk meneruskam pembukaan kantin kerana ada murid-murid di sekolah rendah yang tidak wajib lagi berpuasa,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok