KPM tegaskan isu kertas Sejarah SPM 2024 bocor tidak benar!
Kecoh satu Malaysia berhubung dakwaan berlakunya kebocoran soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi kertas subjek Sejarah.
Susulan itu, orang ramai mula menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengambil tindakan segera ke atas individu yang terlibat secara langsung dalam isu tersebut.
Mengambil hal berkenaan sebagai perkara serius, KPM menerusi kenyataan media pada Khamis memaklumkan, dakwaan kebocoran soalan Sejarah adalah tidak benar kerana kerahsiaan kertas peperiksaan awam terpelihara.
"KPM telah menjalankan siasatan secara terperinci dan ia telah selesai dijalankan dengan turut mengambil kira semua sebaran dan tangkap layar berkaitan yang tular di laman media sosial.
"Kami mendapati bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas. Tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks Sejarah yang dijadikan ramalan.
"Tiada sebarang soalan dalam kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan 2 SPM 2024 dipaparkan dalam mana-mana sebaran dan tangkap layar yang ditularkan,” ujar kementerian itu.
Mengulas lanjut, KPM berkata, dakwaan tersebut tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan, KPM.
"Calon-calon peperiksaan SPM dinasihatkan untuk kekal tenang dan fokus dalam menghadapi peperiksaan.
"KPM sentiasa komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM 2024 adalah terjamin," ujarnya lagi.