Hui Ying ketika memberi jawapan padat di Dewan Rakyat pada Isnin
Hui Ying ketika memberi jawapan padat di Dewan Rakyat pada Isnin

KPM teliti pelaksanaan pembinaan sekolah baharu – Hui Ying

ROSHLAWATY MD RAIEH
06 Mar 2023 05:23pm
A
A
A

Pelbagai perkara diambil kira oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha untuk membina sekolah baharu.

Sebagai contoh, KPM telah mendapatkan input dan cadangan pembinaan sekolah melalui permohonan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan seterusnya melaksanakan analisis keperluan secara terperinci berdasarkan Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun 2022.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, selain daripada kesediaan tapak atau tanah, perkara lain yang diambil kira KPM adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada yang berhampiran.

“Kita juga memberi tumpuan kepada kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk (catchment area) dan perancangan pembangunan kawasan tersebut berdasarkan perbincangan bersama-sama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” ujarnya.

Tambah Hui Ying, projek pembinaan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Ukay Sungai Sering di kawasan Bukit Antarabangsa, Gombak, Selangor, melibatkan pembinaan 30 bilik darjah dan kemudahan lain yang berkaitan telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Bagaimanapun, ia tidak dapat dilaksanakan dan disambung semula dalam tempoh RMK11 dan RMK12 disebabkan oleh pertukaran tapak.

Tapak asal projek itu berada di kawasan cerun berskala tiga yang memerlukan tambahan kos penahan cerun dan tidak sesuai untuk pembinaan sekolah.

“Oleh yang demikian, pada 2018, KPM telah mengenal pasti cadangan tapak baharu bagi pembinaan sekolah ini.

Artikel Berkaitan:

“Tapak baharu yang merupakan tanah serahan pemaju ini telah diluluskan permohonan pemberimilikan tapak kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan kini dalam proses untuk mendapatkan geran.

“Buat masa ini, status pembinaan projek masih berada di fasa pra pembinaan dan dalam peringkat akhir untuk melantik perunding bagi menyediakan pelan reka bentuk bangunan dan menyelesaikan permohonan Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (PB) dengan PBT. Proses pelantikan perunding ini dijangka selesai dalam bulan ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Hui Ying turut menjelaskan, KPM tidak memiliki sebarang perancangan untuk pembinaan sekolah menengah baharu di kawasan Bukit Antarabangsa dalam RMK10.

“Kami mendapati sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang berdekatan masih mampu untuk menampung keperluan penduduk di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun KPM akan terus meneliti keperluan pembinaan SMK bagi menampung keperluan setempat dari semasa ke semasa,” tutur beliau.

Hui Ying memberi jawapan padat di Dewan Rakyat pada Isnin sebagai menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (Ampang) yang mengemukakan soalan mengenai usaha mengemas kini dan menambah baik garis panduan membina sekolah-sekolah baharu berdasarkan kriteria keperluan seperti saiz penduduk, jarak sekolah terdekat dengan kawasan kediaman, sistem pengangkutan dan keupayaan kewangan serta status SK dan SMK di Bukit Antarabangsa yang tertangguh meskipun telah diluluskan dalam RMK10.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok