
KPM umum garis panduan keselamatan & larangan telefon pintar tidak lama lagi
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti dan menetapkan garis panduan khusus susulan cadangan pelaksanaan langkah segera bagi meningkatkan tahap keselamatan di semua institusi pendidikan, termasuk cadangan larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid berusia bawah 16 tahun.
KPM dalam kenyataan memaklumkan garis panduan berkenaan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
"KPM menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang menggariskan langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan, termasuk usaha meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi berkenaan.
"Pada masa sama, KPM turut menyokong hasrat kerajaan menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber, dengan mekanisme pelaksanaannya akan diperincikan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya.
Menurut KPM, semua institusi pendidikan di bawah seliaannya turut digesa memperkukuh peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan dapat ditingkatkan secara menyeluruh.
Kerjasama rentas kementerian dan agensi berkaitan itu juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah KPM. - Bernama
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan akan menetapkan garis panduan baru untuk meningkatkan keselamatan di institusi pendidikan
- Cadangan termasuk larangan penggunaan telefon pintar di sekolah untuk murid bawah 16 tahun
- Garis panduan khusus tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat
- Inisiatif ini juga melibatkan usaha meningkatkan pemantauan polis dan menetapkan had umur penggunaan media sosial pada 16 tahun
- Semua institusi pendidikan digesa memperkukuh peranan PIBG dan komuniti setempat dalam aspek keselamatan