Mohammad Yusof
Mohammad Yusof

KPT kemukakan permohonan laksana MyBrain 15 - Yusof Apdal

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
31 Mar 2023 04:17pm

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengemukakan permohonan peruntukan di bawah Rolling Plan Ke-4, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi meneruskan semula program MyBrain 15.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal, KPT akan membuat permohonan peruntukan itu sekali lagi bagi meneruskan program biasiswa berkenaan setelah tidak diluluskan ketika kementerian itu memohon di bawah Rolling Plan 1, 2 dan 3 RMK12.

“KPT telah melaksanakan dua program MyBrain iaitu MyBrain 15 dan MyBrainSc. MyBrain 15 terbuka kepada pelbagai bidang pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) yang telah dilaksanakan bermula 1 Disember 2010 di bawah RMK10 dan RMK11 dengan penawaran terakhir program MyBrain 15 pada 2016.

“Manakala program MyBrainSc pula dilaksanakan pada 2012 dengan penajaan di peringkat Ijazah Pertama hingga Pasca Ijazah dalam bidang sains tulen sahaja dan program ini masih dilaksanakan hingga kini,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat membuka semula permohonan biasiswa MyBrain kepada calon-calon daripada pelbagai bidang selain sains tulen.

Sementara itu, Mohammad Yusof berkata, kerajaan telah mengenal pasti seramai 3,886 pelajar tajaan MyBrain yang gagal dalam pengajian mereka.

“Pelajar tajaan MyBrain dikehendaki menandatangani perjanjian penajaan antara pelajar dengan kerajaan, dalam hubungan ini apabila pelajar didapati gagal dalam pengajian, mereka akan dikenakan tuntutan ganti rugi berdasarkan kos sebenar yang telah dikeluarkan oleh kerajaan sepanjang pengajian,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp