KPT teliti cadangan untuk tidak adakan peperiksaan pada hari Jumaat hingga Ahad

Adlan Farhan Azwan
16 Mar 2022 05:14pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi diminta membuat perbincangan secara terperinci dengan pihak universiti berhubung cadangan agar institut pengajian tinggi (PT) tidak mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat hingga Ahad.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihak kementerian membenarkan IPT melalui Senat mereka untuk merancang dan melaksanakan peperiksaan masing-masing mengikut kesesuaian.

“Yang Berhormat Tuaran (Datuk Seri Madius Tangau) ada menyuarakan pandangan agar IPT tidak mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat hingga Ahad. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat menyambut baik cadangan tersebut.

“Tetapi untuk makluman Yang Berhormat, sistem peperiksaan di IPT tidak berpusat sebagaimana peperiksaan awam yang lain seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Semua IPT mempunyai takwim akademik yang berbeza," katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Tawau akan dinaik taraf dan beroperasi sebagai kampus penuh (ful-fiedge campus) menjelang tahun 2025.

Jelasnya, kampus itu akan menawarkan kursus-kursus yang bersesuaian dan kursus sepenuh masa, sekali gus mereka yang berada di Sabah tidak perlu merantau ke kawasan lain.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok