Kumpulan pelajar terlibat vandalisme akan dikenakan khidmat komuniti– JPN Pulau Pinang
Kejadian vandalisme dalam kalangan masyarakat hari ini bagaikan tiada kesudahan.
Hampir setiap hari kita didedahkan dengan kes-kes vandalisme iaitu perbuatan merosakkan atau memusnahkan kemudahan awam atau harta persendirian tanpa sebab yang sah di sisi undang-undang.
Terbaharu masyarakat dikejutkan dengan satu rakaman video yang memaparkan perlakuan vandalisme pelajar dari sebuah sekolah menengah dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang, yang merosakkan harta benda sekolah pada hari akhir sesi persekolahan 2022.
Vandalisme yang dilakukan secara berkumpulan itu memperlihatkan mereka bertindak menghempas kerusi plastik hingga pecah, mematahkan bilah kipas dan menendang pintu bilik air sehingga tercabut.
Untuk itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang telah mengambil langkah drastik bagi memastikan kes sedemikian tidak berlaku lagi.
JPN Pulau Pinang dalam satu kenyataan media menjelaskan, tindakan pertama yang diambil mereka adalah memanggil pelajar yang terlibat bersama waris pada 18 Februari lalu bagi membincangkan isu hangat berkenaan.
Hasil pertemuan itu, JPN Pulau Pinang memutuskan para pelajar tersebut perlu berkhidmat dalam komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.
JPN Pulau Pinang turut menegaskan, mereka sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian.
“Oleh itu, kempen hentikan vandalisme dan pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiatkan agar selari dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM),” kata kenyataan media itu lagi.
Dalam pada itu, JPN Pulau Pinang meminta portal-portal yang menyiarkan video tanpa menutup muka pelajar untuk memadam video tersebut kerana bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
INFO
1) Maksud vandalisme
- Vandalisme adalah perbuatan merosakkan atau memusnahkan kemudahan awam atau harta persendirian tanpa sebab yang sah di sisi undang-undang.
- Vandalisme mengakibatkan pihak awam dan swasta mengalami kerugian kerana terpaksa mengeluarkan kos untuk membaiki dan menggantikan barang-barang yang rosak.
- Ia boleh dilakukan secara sendirian atau berkumpulan.
2) Mengapa vandalisme terjadi?
- Untuk mendapatkan sesuatu contohnya duit dari telefon awam.
- Untuk menyatakan sesuatu idea dan kepercayaan.
- Mahu membalas dendam.
- Ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap seseorang atau sesebuah organisasi.
- Keseronokan dan kepuasan diri.
- Untuk diterima sebagai kawan dan ahli kumpulan.
3) Apakah akibat buruk menjadi remaja yang terlibat dalam vandalisme?
- Remaja yang aktif melakukan vandalisme akan mudah menjadi penjenayah apabila dewasa kelak dan mungkin juga akan terlibat dalam keganasan.
- Mereka yang melakukan vandalisme biasanya terlibat dalam lain-lain salah laku seperti gangguan seksual, pencerobohan, kecurian dan pencemaran alam persekitaran (contohnya pembuangan sampah sarap di tempat yang tidak sesuai).
- Selain itu, pelajar yang melakukan vandalisme disebabkan mereka menghadapi masalah dengan pihak sekolah.
- Golongan yang melakukan vandalisme selalunya mendapat laporan buruk dari sekolah dan keadaan ini boleh mengurangkan peluang untuk mereka berjaya dalam hidup.