
Latihan Industri TV PSS: 72 pelajar didedahkan dunia penyiaran sebenar
Seramai 72 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 23 buah sekolah seluruh negara berkampung selama dua hari di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor bagi menyertai Latihan Industri TV PSS anjuran Sinar Bestari.
Program berlangsung pada 29 dan 30 April lalu yang turut dihadiri 24 guru pengiring, bertujuan memberi pendedahan awal kepada peserta tentang dunia penyiaran dan media merangkumi latihan pengacaraan, pengendalian kamera, penyuntingan video dan simulasi program TV.
Sepanjang program, para peserta dibimbing tenaga pengajar berpengalaman antaranya Editor Sinar Bestari, Nurbaya Abdul Rezak dan Kru TV PSS Sinar Bestari, Muhammad Ikhwan Muhammad Azahari.
Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Mohammad Nuri Hussin, turut melahirkan rasa bangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang terpilih menyertai Latihan Industri TV PSS tersebut.
Menurut beliau, penyertaan dalam program seperti ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mempelajari ilmu di luar bilik darjah, malah mengasah bakat dan kreativiti mereka dalam bidang media yang semakin relevan masa kini.
Tambah beliau, hasil kerja para pelajar yang dipersembahkan dalam bentuk video benar-benar mengagumkan dirinya.

"Apabila menonton video-video yang mereka hasilkan, saya benar-benar kagum dengan kreativiti masing-masing.
"Saya percaya, jika mereka diberi lebih masa dan peluang, hasilnya akan jauh lebih hebat dan berkualiti tinggi," katanya ketika memberi ucapan dalam majlis penutup Latihan Industri TV PSS pada Rabu.
Menambah kemeriahan program, Sinar Bestari turut meraikan ulang tahun ke-8 mereka dalam majlis ringkas tetapi bermakna bersama para peserta.
Sambutan itu telah diserikan dengan dua biji kek istimewa tajaan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Sinar Bestari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka atas kesudian menaja kek tersebut.
Semoga jalinan kerjasama ini terus kukuh dan berpanjangan demi memartabatkan pendidikan media pelajar.

INFO
Senarai sekolah yang menyertai Latihan Industri TV PSS
1) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor, Perak
2) SMK Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor
3) SMK Seksyen 19, Shah Alam, Selangor
4) SMK Rantau Panjang, Klang, Selangor
5) SMK Putrajaya Presint 9 (2), Wilayah Persekutuan Putrajaya
6) SMK Pulau Indah, Selangor
7) SMK (P) Raja Zarina, Pelabuhan Klang, Selangor
8) SMK SG KAPAR INDAH
9) Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Tengku Ampuan Rahimah, Banting, Selangor
10) SMK Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor

11) SMK La Salle, Klang, Selangor
12) SMK Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur
13) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru 2, Kapar, Selangor
14) SK Bukit Kemuning (2), Shah Alam, Selangor
15) SK Methodist (ACS), Klang, Selangor
16) SK Puchong Indah, Puchong, Selangor
17) SK Kampung Johan Setia, Klang, Selangor
18) SK Seksyen 20, Shah Alam, Selangor
19) SK Seksyen 19, Shah Alam, Selangor
20) SK Kampung Jawa 2, Klang, Selangor

21) SK Temenggong Abdul Rahman, Segamat, Johor
22) SK Kampung Medan, Banting, Selangor
23) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Simpang Lima, Klang, Selangor