
5 pelajar USIM jalani latihan industri & jadi imam tarawih di Jepun!
Lima pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertuah apabila diberi peluang menjalani latihan industri sehingga pertengahan April 2025 di Jepun.
Mereka yang terpilih itu terdiri daripada Muhammad Aidel Mohd Yassin, Afif Syahmi Azman, Anas Azmi, Wan Muhammad Amiruddin Wan Othman dan Muhammad Luqman Nurhakim Mustafa, masing-masing pelajar jurusan Pengajian Qiraat di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.
Selain mengikuti latihan industri, kelima-lima pelajar tersebut turut menggalas amanah sebagai imam tarawih sepanjang Ramadan 2025.
Muhammad Aidel yang ditempatkan di Masjid Shiga, Higashiyagura dan Kusatsu berkata, menjalani latihan industri serta menjadi imam tarawih merupakan pengalaman yang sangat berharga dalam usahanya menimba ilmu dan menyebarkan syiar Islam.
Ujarnya, peluang itu tidak akan disia-siakan kerana ia adalah tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh amanah.

Afif Syahmi pula memaklumkan, ini kali pertama dia menyambut Ramadan di luar negara sekali gus mengajarnya tentang kesabaran, ketabahan dan erti kesederhanaan dalam menjalani ibadah di tempat yang serba berbeza.
"Lebih penting, saya mahu memastikan masyarakat Islam di sini merasai suasana Ramadan seperti di negara-negara Islam lain," jelasnya yang bertugas di lokasi sama dengan Muhammad Aidel.
Bagi Muhammad Luqman Nurhakim yang mengikuti latihan industri di Osaka Islamic Centre, suasana Ramadan di Jepun sangat berbeza berbanding di Malaysia.
"Masyarakat Islam di sini sangat menghargai kedatangan imam dari luar kerana mereka jarang mendapat peluang untuk merasai Ramadan seperti di negara-negara Islam lain.
"Justeru, kami berusaha sebaik mungkin menghidupkan bulan puasa 2025 dengan aktiviti bermanfaat," katanya.
Sebelum itu, Anas Azmi dan Wan Muhammad Amiruddin ditempatkan di Jepun Da’wah Centre, Osaka bagi mengikuti latihan industri dan menjadi imam tarawih.

Kesemuanya juga berpeluang menyertai pelbagai program komuniti anjuran masyarakat Islam tempatan di sana.
Sementara itu, semua pelajar USIM mengakui bahawa bertugas sebagai imam di luar negara adalah satu cabaran besar.
Bagaimanapun, ia menjadi satu pengalaman berharga buat mereka dalam memperkukuh keyakinan dan kemahiran menyampaikan ilmu Islam.
Kesimpulannya, misi lima pelajar ini jelas membuktikan bahawa mereka mampu mampu membawa Islam berkembang di mana sahaja.
Semoga pengalaman anak-anak muda ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berbakti dan mengembangkan ilmu Islam di peringkat antarabangsa.
