MRSM
MRSM

Lebih 80 peratus pelajar B40 sesi 2024 di MRSM

AZLEENDA SAHALUDIN
11 Mar 2024 06:12pm
A
A
A

Pengambilan kuota pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara bagi sesi 2024 menunjukkan peningkatan melebihi 80 peratus.

Pengerusi Mara, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, jumlah itu adalah yang tertinggi daripada jumlah keseluruhan pada tahun lepas dengan sesi pendaftaran pada Isnin adalah seramai 7,424 pelajar daripada golongan B40.

Asyraf Wajdi ketika ditemui pada sesi lawatan sempena Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu ke MRSM Kuala Kubu Baru, Selangor.
Asyraf Wajdi ketika ditemui pada sesi lawatan sempena Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu ke MRSM Kuala Kubu Baru, Selangor.

“Lebih 6,000 tawaran diberikan kepada pelajar B40 ini untuk ditempatkan ke MRSM namun laporan menunjukkan sebanyak 76 peratus telah menerima tawaran kemasukan.

“Sepatutnya, kita mempunyai dasar kemasukan sejumlah 60 peratus sahaja bagi pelajar B40 tetapi melihat ramai pelajar daripada kumpulan ini mendapat keputusan cemerlang, disebabkan itu kita tidak menetapkan had kuota walaupun melebihi peratusan yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada sesi Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu di MRSM Kuala Kubu Baru, Selangor pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, faktor kewangan sepatutnya tidak menjadi masalah utama bagi pelajar yang kurang berkemampuan kerana Mara telah mengambil langkah proaktif bagi membantu mereka yang memerlukan.

Ujarnya, mereka yang tidak mampu untuk membayar yuran dibenarkan untuk masuk dahulu ke MRSM dan dibolehkan untuk menangguh pembayaran yuran.

“Bahkan program bantuan kewangan pendidikan yang digelar BUDI itu sendiri membantu pelajar kurang berkemampuan ini dari segi baju uniform sekolah, peralatan masuk ke asrama dan wang saku.

Artikel Berkaitan:

“Jadi tidak ada alasan sekiranya faktor kemiskinan menjadi punca utama tidak mahu untuk ke MRSM.

“Malah saya sendiri meminta pihak pengetua dan pengurusan tertinggi MRSM untuk menghubungi setiap pelajar yang ditawarkan dan mendengar sendiri alasan sekiranya menolak tawaran kemasukan,” tambahnya lagi.

Selain itu, mengenai jumlah kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke MRSM, Asyraf Wajdi memberitahu kebiasaannya pelajar kaum India adalah lebih ramai yang memohon berbanding kaum Cina.

“Pelajar kaum Cina saya akui memang kurang daripada dahulu walapun kita telah membuka 10 peratus kemasukan kepada bukan Bumiputera dan kita lihat pelajar India lebih berminat belajar di sini.

“Seperti di Kuala Kubu Baru hari ini kita ada lapan pelajar baharu daripada kaum India yang akan bersama-sama menuntut ilmu di sini,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok