Umayal (tengah, tiga dari kanan) bersama barisan pelajar yang mengikuti MLL 2.0.
Umayal (tengah, tiga dari kanan) bersama barisan pelajar yang mengikuti MLL 2.0.

Maharani Learning Lab perkasa pelajar B40

09 Mar 2024 09:39pm

Bukan semua remaja perempuan berpeluang mendapat bimbingan dalam pendidikan digital, kemahiran memimpin, berkomunikasi sesama rakan sebaya dan berada di khalayak ramai.

Malah lebih teruk lagi, terdapat dalam kalangan remaja perempuan tidak tahu bagaimana mengatakan ‘tidak’ dalam sesetengah perkara.

Sehubungan dengan itu, Yayasan Raise Yourself to Help Mankind (RYTHM), sebuah cabang impak sosial Kumpulan QI, konglomerat  antarabangsa memperkenalkan Maharani Learning Lab 2.0 (MLL 2.0), sebuah ruang kepada remaja perempuan kelompok B40 mempelajari tentang pendidikan digital, pemerkasaan diri dan sokongan akademik selepas waktu persekolahan secara percuma.

Pengerusinya, Datin Seri Umayal Eswaran menekankan keperluan untuk membebaskan diri daripada stereotaip tradisional dan membuka minda mereka yang mempunyai potensi dan kebolehan terpendam serta masih belum sepenuhnya diterokai.

“Setiap dua minit, akan ada seorang daripada anak-anak di luar sana yang terlibat dengan perkahwinan bawah umur dan sepatutnya perkara ini tidak berlaku di usia mereka yang masih muda. Hak mereka untuk menikmati kehidupan remaja dengan kawalan kedua ibu bapa yang matang dan persekitaran saling menyokong sangat diperlukan.

“Di Maharani, kami melatih untuk menyaksikan perubahan supaya anak-anak tersebut mampu bersuara dan perjuangkan hak mereka.

“Jika tidak, perkara ini akan berterusan untuk 150 tahun akan datang dan tiada apa yang akan berubah. Masih ada kaum wanita yang dizalimi dan dipandang rendah. Bagi mengatasi masalah ini, pendidikan adalah kunci membuka minda dan pandangan mereka kerana ia adalah asas kepada masa depan lebih cerah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran MLL 2.0 di The ZIZZ, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Umayal (tengah) mengambil peluang berkomunikasi bersama beberapa remaja yang terlibat program MLL 2.0.
Umayal (tengah) mengambil peluang berkomunikasi bersama beberapa remaja yang terlibat program MLL 2.0.

Umayal menambah, pembukaan MLL merupakan komitmen yayasan untuk mengubah cara fikir dalam kalangan remaja perempuan dan keluarga B40 supaya kemahiran dan ilmu pengetahuan diperolehi mendorong mereka untuk lebih berani berhadapan dengan cabaran hidup dan bagaimana mengatasinya pada masa hadapan.

“Sejak dahulu lagi, lelaki dilihat lebih beruntung dalam segenap segi dan masih wujud pandangan stereotaip masyarakat, kaum perempuan lebih banyak ketinggalan dalam banyak aspek.

“Sedangkan kaum wanita mempunyai kebolehan yang baik jika diberi peluang malah mereka mempunyai banyak kepimpinan yang luar biasa,” katanya.

Tambahnya, MLL dibuka kepada pelajar yang tidak mampu menghadiri kelas tuisyen berbayar dan di sini ditawarkan kelas tambahan bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik sebagai persediaan awal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pembelajaran aplikasi digital seperti Canva, MS Office, dan pengekodan (coding).

Termasuk juga inisiatif membantu peserta mengharungi cabaran hidup seperti kemahiran komunikasi di khalayak ramai dan membentuk jati diri.

Komitmen memperkasakan pelajar perempuan belasan tahun ini menunjukkan dedikasi yayasan menangani jurang pendidikan dengan menyediakan pembelajaran yang boleh diakses secara percuma dan memberi peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Sementara itu, salah seorang ibu pelajar, Subhashini Muralidharan berkata, banyak perubahan dalam diri anak perempuannya yang dihantar ke MLL.

“Anak saya lebih positif, minat bersekolah dan mampu belajar menguruskan masanya dengan baik.

“Dia tidak sabar untuk mengambil bahagian dalam aktiviti MLL sepanjang cuti sekolah dan berharap lebih ramai gadis remaja menyertainya.

“Malah, aktiviti di sini membantu mereka berkembang melangkaui batasan sekolah, kerja rumah dan juga peperiksaan,” ujarnya.

No Image Caption

Dalam pada itu, seorang peserta, Afiqah Umairah Asbarihan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor, mengakui perubahan pada dirinya menerusi pendekatan pembelajaran dan lebih memahami bagaimana merancang masa hadapan.

“MLL bukan sekadar tempat belajar tetapi di mana kemahiran saya dipupuk.

“Menerusi bimbingan dan sokongan melalui aktiviti, saya diberi peluang meruntuhkan halangan dari dalam diri sendiri.

“Pada masa hadapan, saya juga sudah bersedia berhadapan dengan pandangan stereotaip sesetengah masyarakat. Lebih menyeronokkan di sini, suara saya didengari dan kekurangan juga diterima oleh rakan sebaya dan kami bersama-sama memperbaikinya,” katanya.

MLL bermula pada tahun 2015 dengan pusat pembelajaran di Sungai Siput, Perak, untuk kanak-kanak belajar dan menyertai program membina jati diri.

Pada 2021, program telah mengubah seluruh fokus inisiatif tersebut dan mengalih tumpuan kepada komuniti berhampiran ibu pejabat operasi Yayasan RYTHM di Lembah Klang.

Pembukaan MLL adalah peningkatan strategik untuk menangani perubahan bagi keperluan dalam pendidikan pada masa sekarang.

Ia menggabungkan teknologi canggih dan kemahiran seperti realiti maya, robotik dan Internet of Things (IoT) serta menyediakan peserta untuk berjaya dalam dunia digital yang berkembang pesat.

MLL turut disokong Maharani School Program (MSP) yang disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

MSP telah memperkasakan lebih 8,000 gadis berumur 13 hingga 16 tahun sejak 2010 yang memupuk pembelajaran berasaskan eksperimen dan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan penting mengejar potensi sepenuhnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp