Lokakarya Literasi dan Numerasi UniMAP-Hasanah bantu guru bimbing murid tercicir 3M
Lokakarya Literasi dan Numerasi UniMAP-Hasanah bantu guru bimbing murid tercicir 3M

Lokakarya Literasi dan Numerasi UniMAP-Hasanah bantu guru bimbing murid tercicir 3M

Roshlawaty Md Raieh
08 Apr 2022 11:40am
A
A
A

KANGAR - Akibat cabaran pandemik sebelum ini, tidak semua murid sekolah dapat mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan oleh guru.

Isu-isu membimbangkan seperti masalah buta huruf atau murid yang tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) pada peringkat umur sepatutnya, mula timbul apabila PdPR tidak dapat dijalankan dengan baik.

Sehubungan itu, satu lokakarya telah dianjurkan bagi mengatasi masalah tersebut.

Lokakarya yang berada di bawah projek dikenali sebagai Pengamalan Modul Literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Numerasi: Hasanah Special Grant (HSG) 2021-2022 adalah seliaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui kerjasama pintar bersama Yayasan Hasanah, Wesser Solutions Sdn Bhd dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Profesor Ir Dr Rizalafande Che Ismail berkata, projek berkenaan adalah selari dengan agenda UniMAP for Society yang cakna dengan pembangunan sosial dan sentiasa komited dengan program-program pembangunan komuniti di samping turut berkongsi kepakaran dalam menjayakan sesuatu program.

Katanya, pasukan UniMAP yang terdiri dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Pusat Sains Liberal dan Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) UniMAP akan diketuai oleh Profesor Madya Dr Ir Umi Fazara Mohd Ali.

Baca juga 

Profesor luluskan pelajar hampir gagal, terima pujian warganet

Tersenarai dalam Malaysia Book Of Records, Dr Soo Wincci kini pensyarah muzik di UiTM

Mereka bertanggungjawab dalam bidang pemerkasaan pendidikan dengan membangunkan modul Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Bagi JPN Perlis pula, mereka berperanan mengenal pasti murid-murid yang memerlukan pemulihan Literasi dan Numerasi seluruh Perlis selain pembangunan modul dan latihan kepada mentor dan juga termasuk 140 guru-guru sekolah rendah di negeri ini,” kata Rizalafande ketika berucap di Bengkel Pengamalan Modul Literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Numerasi: HSG 2021-2022, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pendidikan dan Biasiswa Yayasan Hasanah, Dr Nur Anuar Abdul Muthalib, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu Sektor Pembelajaran JPN, Shahida Basir dan Umi Fazara.

Rizalafande berkata, penguasaan literasi dan numerasi ini merupakan kemahiran asas yang sangat penting supaya murid-murid celik huruf dan nombor serta seterusnya berjaya dalam pendidikan.

“Kita yakin dan percaya bahawa projek ini dapat melahirkan murid-murid yang berketrampilan dan berani kehadapan melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan sedikit masa lagi, misalnya aktiviti dan pertandingan read to speak, bijak Matematik, penulisan cerita pendek, role play dan sebagainya.

“Justeru, pada hari ini guru-guru pemulihan akan diberi pendedahan tentang perjalanan projek, modul yang telah disediakan dan amalan terbaik untuk menyampaikan modul tersebut kepada kira-kira 2,000 murid B40 yang sebelum ini tercicir,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Terdahulu, Dr Nur Anuar memberitahu, sebagai organisasi menyediakan geran, Hasanah amat mementingkan perbelanjaan secara berhemah dalam usaha memudahkan transformasi ekosistem, bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, menerapkan semangat advokasi dan membangunkan kapasiti dalam lima bidang tumpuan utama iaitu Pendidikan, Pembangunan Komuniti, Alam Sekitar, Seni dan Ruang Awam dan Pengetahuan.

“Secara kolektif dan kolaboratif, Hasanah berharap dapat mewujudkan perubahan sosial dan pembaharuan masyarakat untuk rakyat Malaysia, ke arah Malaysia yang lebih baik.

“Tahun 2022 dan tahun-tahun yang mendatang akan terus memberikan cabaran dari pelbagai sudut pendidikan. Justeru, kita perlu memainkan peranan lebih berkesan dan memberi perhatian khusus dalam membantu murid agar mereka tidak tercicir dalam pendidikan akibat pandemik Covid-19,” kata beliau.

Sementara itu, seorang guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Jejawi, Farina Amron berkata, lokakarya berkenaan sangat sesuai bagi membantu murid-murid yang tercicir dalam pelajaran akibat tiada gajet dan ibu bapa bekerja sepanjang pandemik.

“Modul yang dibangunkan juga memberi kemudahan kepada guru-guru untuk membimbing murid-murid menguasai 3M dengan lebih berkesan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok