Nur Hazah (dua dari kanan) sewaktu menerima replika cek geran daripada Jafri Malin di UM baru-baru ini.
Nur Hazah (dua dari kanan) sewaktu menerima replika cek geran daripada Jafri Malin di UM baru-baru ini.

Magnet mampu bantu pulih strok?

NURBAYA ABDUL REZAK
03 Feb 2024 07:00am
A
A
A

Usaha seorang pensyarah Universiti Malaya (UM) dalam kajian pemulihan pesakit strok mendapat perhatian Yayasan Penyelidikan Otak, Minda dan Neurosains Malaysia (YPOMNM).

Kegigihan Profesor Madya Dr Nur Azah Hamzaid dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan UM itu dihargai menerusi Geran Insentif YPOMNM Kitar 1 2023 baru-baru ini.

Menurut Nur Azah, kajiannya akan berfokuskan mengenai Transcranial Magnetic Stimulation (TMS).

"Bidang kajian saya merangkumi kaedah-kaedah penyelesaian bagi membantu proses pemulihan fizikal yang disebabkan pelbagai faktor termasuklah strok.

"Dalam kajian ini, kita akan melihat sejauh mana penggunaan rangsangan magnet di bahagian otak mampu memberi kesan terhadap proses pemulihan otot pesakit strok, terutamanya otot kaki,” kata Nur Azah.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian geran tersebut yang disampaikan oleh Pengasas YPOMNM, Datuk Jafri Malin Abdullah dan Profesor Madya Dr Durriyyah Sharifah Hasan Adli di The Cube, Fakulti Kejuruteraan UM.

Nur Azah yakin pemberian geran ini akan menambahbaik penyelidikannya yang telah pun bermula sejak tahun 2021.

“Walaupun jumlah geran insentif ini tidak setinggi geran penyelidikan lain, namun saya percaya ia mampu memberi motivasi kepada kumpulan penyelidik saya meneruskan usaha kami mencari penyelesaian terbaik untuk proses pemulihan pesakit strok,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jafri Malin berkata, pemberian geran insentif YPOMNM dibuat setiap tahun bagi menggalakkan pelaksanaan penyelidikan dalam apa-apa bidang berkaitan neurosains.

“Geran insentif YPOMNM ini telah disampaikan kepada penyelidik melibatkan pelbagai kajian seperti kajian berkaitan fisiologi otak sehinggalah berkaitan sosiologi dan bagaimana persekitaran memberi kesan terhadap kesejahteraan mental serta kajian berkaitan rawatan terhadap pesakit strok.

"Ia selaras objektif penubuhan YPOMNM yang ingin melihat warga Malaysia lebih menyedari serta menghargai kepentingan bidang neurosains serta isu berkaitan dengannya,” katanya yang juga merupakan Felo Akademi Sains Malaysia.

Untuk rekod, YPOMNM ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2017 dengan menyediakan bantuan perkhidmatan, kewangan, mendapatkan dana dan sumbangan bagi para penyelidik yang berminat menjalankan sebarang penyelidikan berkaitan otak, minda serta neurosains.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok