maiwp1
maiwp1

Mahasiswa UIAM terima sumbangan RM200,000 daripada MAIWP

Nor Azma  Muhamat Laila
12 Apr 2022 01:58pm
A
A
A

GOMBAK – Seramai 200 orang mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terdiri daripada golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah B40 menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM200,000 secara keseluruhannya.

Pengerusi MAIWP yang juga Presiden UIAM, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, dengan bantuan ini ia sedikit sebanyak dapat membantu pelajar daripada golongan B40 dan asnaf yang berada di kampus UIAM.

“Kita dapat lihat impak yang berlaku akibat daripada Covid-19 ini yang mana golongan-golongan B40 dan asnaf perlu dibantu kerana ada ahli keluarga mereka yang hilang pekerjaan dan tiada punca pendapatan untuk menyara keluarga.

“Oleh itu, MAIWP terpanggil untuk membantu para pelajar dan diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga seterusnya membolehkan mereka untuk terus fokus sepanjang pengajian,” katanya ketika hadir menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan tersebut di UIAM Kampus Gombak, baru-baru ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Kesemua pelajar yang menerima bantuan ini adalah mereka yang tinggal dan bermastautin di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, pihak universiti sangat bersyukur di atas sumbangan yang diberikan oleh MAIWP dan berharap supaya bantuan berkenaan dapat meringankan beban pelajar yang memerlukan.

“Saya amat berterima kasih dan bersyukur dengan sumbangan yang diberikan malah pengurusan universiti akan sentiasa cakna dengan keperluan dan bantuan yang diperlukan oleh para pelajar lebih-lebih di bulan Ramadan yang mana penuh berkat ini,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok