Asyraf Wajdi (dua dari kanan) ketika lawatan kerja merasmikan Cawangan LOCCA Cafe di Dataran Pahlawan, Banda Hilir.
Asyraf Wajdi (dua dari kanan) ketika lawatan kerja merasmikan Cawangan LOCCA Cafe di Dataran Pahlawan, Banda Hilir.

Mini Ulul Albab di MRSM bermula tahun ini

NOR FARHANA YAACOB
24 Apr 2024 05:15pm
A
A
A

Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperkasakan program Ulul Albab dengan memperkenalkan Mini Ulul Albab di 49 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, setakat ini terdapat lapan buah MRSM berkonsepkan Ulul Albab dan kerana permintaan terhadap MRSM seperti itu semakin meningkat, pihaknya memperkenalkan program mini berkenaan di MRSM yang tidak mempunyai program integrasi Ulul Albab.

Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat itu pelajar disaran menghafaz sekurang-kurangnya empat juzuk al-Quran sepanjang tempoh pengajian mereka di MRSM tersebut.

"Di MRSM yang bukan khusus Ulul Albab, bermula tahun ini mereka diperkenalkan apa yang kita panggil Mini Ulul Albab.

"Pelajar-pelajar sekurang-kurangnya mesti atau disarankan untuk menghafal empat juzuk iaitu juzuk satu, juzuk dua, juzuk tiga dan terakhir juzuk 30 sepanjang berada di MRSM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Cawangan LOCCA Cafe di bawah MARA di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka, pada Rabu.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Choo Chin.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MARA memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi membangunkan usahawan di negeri ini meliputi program latihan, senggaraan premis perniagaan dan pembiayaan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, bantuan itu akan dimanfaatkan seramai 8,000 hingga 10,000 usahawan Bumiputera baharu dan sedia ada sekali gus melonjakkan lagi perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi.

"MARA sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk memperkenalkan jenama tempatan dan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam rantaian bekalan daripada pembekal sehingga pelanggan," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok