mqa2
mqa2

MQA jalin kerjasama dengan 8 IPT tempatan

Nor Azma  Muhamat Laila
15 Apr 2022 11:55am
A
A
A

PUTRAJAYA - Dalam usaha memperkasa agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lapan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk Program Rintis ‘Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC)’.

Lapan IPT berkenaan ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Management and Science University (MSU) serta institusi di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Pada majlis itu, MQA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran manakala USM, UTM, UiTM dan UPSI diwakili Naib Canselor masing-masing iaitu Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan, Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, Profesor Datuk Ts Dr Roziah Mohd Janor dan Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff manakala UMP pula diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts Dr Kamal Zuhairi Zamli.

MSU pula diwakili Presidennya, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, UTAR diwakili Naib Presidennya, Profesor Ir Dr Goi Bok Min dan institusi di bawah seliaan JPPKK diwakili Ketua Pengarah JPPKK, Ts Zainab Ahmad.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, usaha MQA membangunkan Garis Panduan Amalan Baik: Stand-alone Micro-credentials dapat menyokong inisiatif MoHE Micro-Credential Based Learning (M.CREDIBLE) dan kursus micro-credentials yang ditawarkan oleh IPT tempatan, khususnya dalam aspek pengukuhan kualiti serta pengiktirafan.

"KPT sedang mengusahakan satu fasa baharu pembelajaran fleksibel yang mana penawaran kursus micro-credentials walaupun pada asalnya tiada sebarang kaitan dengan mana-mana program pengajian, tetapi kini boleh diiktiraf untuk mendapat pemindahan kredit.

"Inisiatif ini bakal membolehkan individu yang telah mengumpulkan sejumlah kursus micro-credentials, secara fleksibel memohon untuk bergraduasi setelah memenuhi syarat yang ditetapkan oleh sesebuah IPT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara MQA dengan lapan IPT untuk Program Rintis ‘Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC)’, di kementeriannya, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr Mohd Zabri Yusoff dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar.

Tambah Noraini lagi, pihaknya juga melihat terdapat potensi besar dalam usaha memperkembang kursus-kursus micro-credentials yang melangkaui manfaat ekosistem 'upskilling' dan 'reskilling'.

"Dalam hubungan ini, IPT boleh memanfaat kerjasama dengan industri untuk menghasilkan produk pendidikan yang membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan, menyokong edutourism dan menawarkan akses pembelajaran dalam talian kepada pelajar di luar negara," ujarnya.

Menurut Noraini, dalam lawatan rasminya ke Delhi, India, baru-baru ini, penawaran kursus micro-crendentials menjadi antara topik yang dibincangkan dengan rakan strategik di negara itu.

Katanya, ruang kerjasama yang terjalin akan menarik lebih ramai pelajar dari negara itu untuk menyambung pengajian di Malaysia.

"Saya turut difahamkan bahawa sayap kolaboratif penawaran kursus micro-credentials akan dikembangkan ke IPT di benua lain seperti Eropah, Afrika, Amerika Selatan, Asia serta benua Amerika termasuk di Kanada dan Amerika Syarikat, tanpa melupakan negara di Asia.

"Inisiatif ini diharap akan membantu melonjakkan usaha negara untuk menarik minat 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok