shatar
shatar

MQA lancar APEL.Q, perkasa pembelajaran sepanjang hayat

Nor Azma  Muhamat Laila
07 Jul 2022 12:05pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam usaha menyemarakkan lagi agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) meneruskan inisiatif Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) dengan memperkenalkan penganugerahan kelayakan akademik atau APEL.Q.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, APEL.Q merupakan proses menilai ilmu yang diperoleh daripada pengalaman pembelajaran terdahulu seseorang untuk dianugerahkan kelayakan akademik.

Katanya, kelayakan itu termasuk peringkat pengajian tahap diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) tanpa perlu mengikuti keseluruhan program pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT).

"Saya juga graduan yang melalui projek rintis penilaian APEL.Q yang pernah melalui proses penilaian portfolio, lawatan lapangan dan pengesahan serta ujian cabaran (challenge test).

"Saya yakin ramai di luar sana yang sudah membangunkan bakat sekian lama melalui pengalaman hidup dan kerjaya boleh berjaya menerusi laluan alternatif APEL.Q ini,” katanya ketika berucap melancarkan inisiatif APEL.Q sempena Hari Terbuka APEL di KL Sentral, di sini, semalam.

Noraini ketika berucap melancarkan inisiatif APEL.Q sempena Hari Terbuka APEL di KL Sentral, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr Husaini Omar; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts Zainab Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Pada majlis itu, Noraini turut mengumumkan enam IPT yang diluluskan oleh MQA untuk melaksanakan APEL.Q iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Open University Malaysia (OUM), Asia e University (AeU), HELP University dan SEGi University.

Ujar beliau, enam universiti itu merupakan universiti rintis yang membabitkan 13 program dari peringkat diploma sehinggalah PhD.

"KPT berharap lebih banyak IPT tempatan menerima pelajar laluan APEL dengan menyediakan sistem sokongan yang bersesuaian.

"Saya yakin inisiatif ini mampu menarik minat lebih ramai warga Malaysia kembali menyambung pengajian dan menarik pelajar dari seluruh pelosok dunia untuk menjadikan Malaysia destinasi pilihan pengajian tinggi seterusnya meletakkan negara ini sebagai hab pendidikan global,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, terdapat banyak kelebihan mengikuti APEL.Q seperti menggalakkan individu bekerja untuk memperoleh kelayakan akademik lebih tinggi, mengelakkan pembelajaran yang berulang dan mengurangkan kos pengajian.

Mohammad Shatar.

Katanya, APEL.Q menjadikan sistem pendidikan tinggi negara ini lebih fleksibel dan setanding negara maju yang rata-ratanya telah mengiktiraf pembelajaran terdahulu.

"Selain menjadi satu daripada kaedah untuk mewujudkan budaya PSH, APEL.Q juga akan melahirkan masyarakat berilmu yang menyumbang ke arah pembangunan modal insan negara melalui pengiktirafan pekerja berkemahiran.

"Semua itu akan memberi kesan kepada ekonomi dan pembangunan sosial masyarakat," jelasnya.

Artikel berkaitan

MQA mahu bawa APEL ke peringkat global

UPNM tawar laluan APEL kepada warga badan beruniform – MQA

UPSI galak penggiat seni hiburan sambung belajar menerusi APEL Q


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok