MQA-UK-SINARBESTARI-2023
MQA-UK-SINARBESTARI-2023

MQA perkukuh jaminan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia, UK

nadzarul.amir
16 Jan 2023 04:09pm
A
A
A

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkukuh jaringan antarabangsa dalam bidang jaminan kualiti dan akreditasi dengan menjalin kerjasama bersama ECCTIS Ltd (ECCTIS), UK National Information Centre (UK ENIC).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kerjasama dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu akan memperkasa kerjasama antarabangsa dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi di Malaysia dan United Kingdom (UK).

“Kerjasama ini juga akan menyaksikan kedua-dua pihak menjadi pemudah cara program mobiliti membabitkan institut pendidikan tinggi (IPT), mempromosikan sumber maklumat negara, bekerjasama dalam aktiviti dan perkhidmatan, pertukaran maklumat dan pakar.

“Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk bekerjasama dalam Pendidikan Transnasional (TNE), termasuk kedua-dua kelayakan TNE UK-Malaysia dan TNE antarabangsa, bekerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Vokasional (VET),” katanya pada majlis menandatangani MoU yang diadakan secara dalam talian di Sepang baru-baru ini.

Pada majlis itu, MQA diwakili Mohammad Shatar manakala ECCTIS diwakili Pengarah Eksekutif dan Ketua UK ENIC, Paul Norris.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari; Ketua Perkhidmatan Penandaarasan Kualiti UK ENIC, Dr Fabrizio Trifiro; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa dan Ketua Unit MQA International, Muhammad Hasfarizal Kamaludin.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pengantarabangsaan pendidikan tinggi menjadi antara agenda utama yang dititikberatkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bagaimana badan jaminan kualiti boleh membantu menarik minat pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

Beliau menambah, pengajian sepanjang hayat (PSH) dan pendidikan fleksibel ialah antara inisiatif yang memberi nilai tambah untuk ditonjolkan oleh Malaysia di persada global.

Katanya, selaras dengan perkongsian yang diketengahkan oleh menteri, pihaknya bertuah kerana mempunyai rakan kongsi seperti UK ENIC yang kami percaya menjadi titik rujukan MQA untuk menanda aras sewajarnya.

"Diharap dalam tempoh lima tahun MoU ini, kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak lebih aktif, berkesan dan membuahkan hasil.

"Sebagai permulaan, MQA akan menghantar dua pegawai untuk mengikuti latihan dalam bidang khidmat pelanggan ke UK ENIC dan diharap melalui usaha ini akan membolehkan kami meningkatkan mutu perkhidmatan," katanya.

Sementara itu, Norris berkata, kerjasama dalam kalangan badan akreditasi di seluruh dunia amat penting terutama selepas dunia dilanda Covid-19 yang menyaksikan pelbagai mod pengajian diperkenalkan.

Katanya, hubung kait antara kualiti dan pengiktirafan amat penting dalam kerjasama yang terjalin antara dua badan jaminan kualiti di UK dan Malaysia.

"Kami juga teruja untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai inisiatif dalam bidang jaminan kualiti.

"Selaras dengan Konvensi UNESCO, kita boleh bekerjasama dalam elemen berbeza bagi amalan kedua-dua agensi untuk belajar antara satu sama lain," katanya.

Artikel berkaitan

MQA perkukuh jaringan antarabangsa bersama Mesir

MQA rai graduan sulung COQAHE

Pengajian tinggi perlu kerjasama global – MQA


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok