shatar
shatar

MQA tawar geran penyelidikan, tingkat kualiti pengajian tinggi negara

Nor Azma  Muhamat Laila
08 Mar 2022 12:32pm
A
A
A

CYBERJAYA - Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan menawarkan Geran Penyelidikan Pendidikan Tinggi (GPPT) kepada penyelidik di negara ini berjumlah maksimum RM50,000 bagi setiap penyelidikan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, skop bagi skim geran itu adalah berkaitan pendidikan tinggi negara, pendidikan fleksibel atau jaminan kualiti.

Tambah beliau, geran berkenaan terbuka kepada institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta dan agensi, jabatan serta kementerian dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

"Tempoh anggaran penyelidikan adalah satu hingga dua tahun dan permohonan tertakluk kepada kelulusan Pengurusan Tertinggi MQA.

"Aktiviti penyelidikan akan dipantau oleh satu jawatankuasa pemandu yang dilantik oleh MQA," ujarnya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, penawaran geran itu membuktikan peranan lebih dinamik ditonjolkan oleh MQA dalam meningkatkan pendidikan tinggi negara.

Tuturnya, diharapkan banyak penyelidikan berkualiti yang dapat dihasilkan menerusi geran itu, seterusnya mampu meningkatkan imej pengajian tinggi negara di persada nasional dan antarabangsa.

"Usaha ini selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sering menguar-uarkan mengenai agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dan meningkatkan akses pendidikan menerusi pendidikan fleksibel.

"Hasil dapatan penyelidikan ini akan dapat membantu Malaysia muncul sebagai hab pendidikan tinggi global dan mampu menarik minat 250,000 pelajar antarabangsa menyambung pengajian di negara ini," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok