msu2
msu2

MSU anjur majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim

Nor Azma  Muhamat Laila
18 Apr 2022 01:12pm
A
A
A

SHAH ALAM - Sebagai sebahagian daripada aktiviti bersempena program Ihya Ramadan 2022, Management and Science University (MSU) telah menganjurkan program Majlis Berbuka Puasa MSU Bersama Anak-anak Yatim, di sini, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MSU, majlis berkenaan bertujuan untuk berkongsi rezeki bersama kelompok komuniti yang tidak bernasib baik khususnya 15 buah rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang dan 180 orang penghuninya.

"Majlis disempurnakan oleh Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid yang turut menyerahkan sumbangan wang zakat dan duit raya daripada Yayasan MSU bernilai RM63,000 kepada rumah-rumah kebajikan dan para penghuninya.

"Antara rumah kebajikan terlibat ialah Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Madrasah Anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Al-Nasuha, Pusat Jagaan Amal Asyura, Pusat Jagaan Baitul Hidayah dan Pusat Jagaan Nur Sakinah," kata kenyataan itu.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid serta Naib Presiden Kanan Endowmen dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof.

Ujar kenyataan itu lagi, hubungan antara MSU dan rumah-rumah kebajikan ini telah terjalin rapat sejak 2010 di mana Rumah Kasih Harmoni serta Rumah Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa telah menerima sumbangan zakat daripada MSU sejak 2011.

"Majlis penyerahan zakat dan duit raya ini adalah acara tradisi MSU dan mencerminkan komitmen universiti dalam memenuhi tanggungjawab terhadap komuniti serta menyuburkan budaya bersyukur dan memberi (2G Culture) dalam kalangan warga kampus khasnya dan masyarakat amnya.

"Ia juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya SDG 10 dan SDG 17," jelasnya.

Program MSU Ihya Ramadhan 2022 turut menyaksikan perlaksanaan pelbagai aktiviti melibatkan warga kampus dan komuniti setempat.

Antaranya ialah majlis sumbangan zakat kepada pelajar MSU dan Kolej MSU, berbuka puasa bersama alumni, iftar harian di kampus, GPS Ramadan, Caseh Ramadan 8.0, Box of Happiness, MSU Quranic League Championship, Hopebox 5.0, Iftar on the Go 5.0, Sinar Ramadan 5.0, Ramadan Booster, Pudding for You, Iftar Project-Bangalore Chapter dan MSUCARES: STAR Edition.

Bazar Ramadan pula memberikan peluang kepada kumpulan B40 untuk menjual pelbagai juadah berbuka puasa kepada warga kampus.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok