MSU lahir pelajar bertaraf global
Laksanakan tiga program mobiliti di lebih 350 buah universiti dunia
Management & Science University (MSU) berjaya memperluaskan pengalaman akademik dan nilai tambah para pelajarnya menerusi pelaksanaan tiga program utama membabitkan lebih 350 institusi pengajian tinggi.
Tiga program utama tersebut ialah Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP) yang mampu memperkukuhkan kemahiran insaniah para pelajar sekali gus mendedahkan mereka terhadap aspek sosial, budaya serta pendidikan global.
MSU dalam satu kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga program mobiliti itu membolehkan mereka membina jaringan kerjasama yang luas, mendapatkan pengalaman baru dan secara tidak langsung menjadi ‘duta kecil’ negara.
“GMP membolehkan para pelajar MSU untuk memperluas pengalaman akademik mereka dengan memilih dari lebih 350 rakan universiti MSU di seluruh dunia.
“Negara-negara yang terlibat termasuk United Kingdom, Jerman, Australia, Jepun, Ireland, Korea Selatan, China, Kazakhstan, Turkiye, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, India, Indonesia, New Zealand dan lain-lain,” jelas kenyataan itu pada Jumaat.
Pada masa sama, program GLP pula memberikan pendedahan kepada para pelajar melalui program-program jangka pendek yang bertujuan untuk mengukuhkan kemahiran kepimpinan mereka melalui aktiviti seperti khidmat sosial, lawatan sambil belajar dan perkongsian budaya dengan institusi pengajian tinggi serta badan-badan global yang lain.
Sementara itu, program GIP pula membolehkan para pelajar MSU menjalani latihan industri di peringkat global bersama organisasi korporat, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pusat penyelidikan, hospital dan industri hospitaliti.
Malah, universiti itu menerusi Yayasan MSU telah memperkenalkan Scholarship for Mobility and International Learning Experiences (SMILE) bagi menyokong para pelajarnya untuk terlibat dalam ketiga-tiga program mobiliti tersebut sekali gus mempersiapkan mereka untuk menjadi warga global yang berdaya saing, berkualiti, holistik dan kompeten di pasaran kerja serantau dan antarabangsa.
“Dengan visi yang jelas untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan, MSU telah melaksanakan berbagai strategi khusus termasuk inisiatif pengantarabangsaan yang signifikan,” jelas MSU.
Antara pelajar MSU yang mengikuti program GMP di Universiti Altinbas, Turkiye.