Keadaan tangki pam tandas seramik yang jatuh menimpa murid sekolah terbabit.
Keadaan tangki pam tandas seramik yang jatuh menimpa murid sekolah terbabit.

Murid cedera dihempap pam tandas, wujudkan perbincangan tukar kepada plastik atau PVC

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
21 Jul 2023 05:37pm

Susulan insiden murid perempuan Tahun Tiga di sebuah sekolah di Ipoh, Perak yang cedera selepas tangki pam (flush) tandas jenis seramik runtuh dan menimpanya telah mewujudkan satu perbincangan bagi menukar semua pam tandas kepada plastik atau Polyvinyl Chloride (PVC).

Kejadian yang berlaku pada petang Selasa lalu telah menyebabkan murid tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala serta menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, perbincangan akan diadakan antara pihak berwajib termasuk pendidikan negeri serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ini kerana beliau memaklumkan kejadian tersebut berpunca daripada masalah yang berkaitan dengan pendakap pam tandas itu sehingga terjatuh semasa murid menggunakan tandas.

“JKR maklum sekiranya pendakap sepenuhnya diikat, keadaan akan selamat.

“Pada masa sama kita akan bincang semula sama ada tukar kepada jenis plastik atau sebaliknya,” katanya seperti dipetik portal tempatan.

Ekoran insiden berkenaan, tandas murid di sekolah tersebut telah ditutup buat sementara waktu dan semua murid dibenarkan untuk menggunakan tandas guru.

Selain itu, tambah Muhamad Arafat, pelbagai bantuan akan diberikan kepada murid yang cedera berkenaan termasuklah sesi kaunseling bagi mengatasi trauma.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberitahu, perkara itu telah dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan ia dipandang berat oleh pihak kementerian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp