No Image Caption

Pasukan robotik KPM tempa nama di Denmark

26 Sep 2023 03:06pm
A
A
A

Pasukan robotik Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya mengharumkan nama negara apabila muncul sebagai juara keseluruhan dalam World Robot Olympiad Frienship Invitational Tournament 2023 di Odense, Denmark.

Kumpulan tersebut meraih dua pingat emas dan dua pingat gangsa pada pertandingan yang berlangsung 19 hingga 26 September 2023 membabitkan penyertaan 39 negara dari serata dunia.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi KPM, pasukan robotik tersebut terdiri daripada empat buah sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perempuan China, Pulau Pinang; SJKC Hwa Aik, Perlis; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri (CF), Sarawak dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Kwang Hua, Selangor.

“SJKC Perempuan China telah memenangi pingat emas dan SJKC Hwa Aik mendapat pingat gangsa bagi kategori Robomission Elementary yang disertai 53 buah pasukan.

“Manakala bagi kategori Robomission Junior, SMK Chung Hua Miri (CF) mengungguli kategori tersebut yang melibatkan penyertaan 47 buah pasukan.

“SMJK Kwang Hua pula berjaya meraih pingat gangsa dalam Robomission Senior yang disertai 41 buah pasukan,” kata kementerian itu.

KPM menambah, pencapaian membanggakan itu menjadi penanda aras dan diharapkan dapat meningkatkan keyakinan pasukan negara yang sedang dalam rangka persiapan menghadapi World Robot Olympiad Final 2023 di Panama City, Panama pada November nanti.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pihak mereka sentiasa berusaha meningkatkan minat murid dan pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) termasuk menerusi program robotik yang menarik serta menghiburkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok