polimas2
polimas2

Pasukan Softball POLIMAS juara Kejohanan Polycc Premier Softball Cup 2022

Nor Azma  Muhamat Laila
02 Jun 2022 05:35pm
A
A
A

JITRA – Pasukan Softball Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah mengekalkan kejuaran buat kali kelima apabila dinobatkan sebagai johan bagi kategori lelaki dalam Kejohanan Polycc Premier Softball Cup 2022, yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Pasukan wanita juga turut tidak menghampakan apabila menduduki tempat ketiga dalam kejohanan kali ini.

Menurut Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud, pencapaian ini adalah yang terbaik pernah diraih oleh pasukan softball POLIMAS kerana berjaya mengekalkan kejuaraan untuk tempoh lima tahun berturut-turut.

"POLIMAS sebagai Pusat Kecemerlangan Softball bagi atlet Politeknik Malaysia adalah diharapkan dapat menghasilkan pasukan yang mantap untuk mencapai sasaran menggondol pingat emas dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 yang akan berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak mulai 12 hingga 23 Ogos nanti," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Kejohanan Polycc Premier Softball Cup 2022 diadakan bagi tujuan pemilihan pasukan politeknik Malaysia ke Kejohanan Softball Peringkat Kebangsaan 2022 yang akan bermula pada 3 hingga 6 Jun 2022 bertempat di Padang Polo, Pulau Pinang.

Sebanyak 12 pasukan bertanding dalam kejohanan ini yang mempertandingkan empat kategori iaitu lelaki dan wanita Majlis Sukan Politeknik (MSP) serta kategori lelaki dan wanita terbuka.

Perasmian penutup dan penyampaian piala serta pingat kepada pemenang disempurnakan oleh Kamaludin dan turut dihadiri Penolong Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Mhd Nafizi Nosri; Timbalan Pengarah Akademik, Salmiyah Che Ahmad; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Dr Mhd Azmin Mat Seman dan Ketua Jabatan Sukan, Kurikulum dan Kebudayaan, Jamil Senapi.

Sementara itu, pelajar Jabatan Perdagangan, Mohamad Luthfi Amir yang juga pemain pasukan softball POLIMAS berkata, dia berbangga dapat menyertai pasukan POLIMAS dan sangat gembira apabila dinobatkan sebagai johan dalam kejohanan kali ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok