PBAKL 2023 kali ke-40 akan berlangsung pada 26 Mei hingga 4 Jun 2023 di WTCKL.
PBAKL 2023 kali ke-40 akan berlangsung pada 26 Mei hingga 4 Jun 2023 di WTCKL.

PBAKL 2023 janjikan pelbagai keunikan kepada pengunjung

ROSHLAWATY MD RAIEH
23 May 2023 04:29pm
A
A
A

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pastinya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di negara ini terutamanya kepada para penggemar pelbagai genre buku.

Ini kerana PBAKL adalah acara tahunan yang paling dinanti-nantikan dan peminatnya bagaikan tidak sabar untuk berkunjung ke sana setiap kali tibanya pesta buku berkenaan.

Sebagai menghargai kesetiaan pencinta buku, PBAKL 2023 kali ke-40 akan berlangsung pada 26 Mei hingga 4 Jun 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan sasaran 1.3 juta pengunjung.

Dengan mengangkat tema ‘Budaya Membaca Membentuk Keperibadian Unggul Masyarakat Madani’, PBAKL 2023 yang bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam itu akan diadakan secara hibrid iaitu bersemuka dan juga secara dalam talian sebagai usaha memartabatkan buku sebagai sumber ilmu pengetahuan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurukulum), Kementerian Pendidikan (KPM), Dr Ahmad Rafee Che Kassim, buku merupakan medium untuk mendapatkan akses kepada ilmu pengetahuan dan pelbagai kemahiran.

Tambah beliau, buku dan bahan bacaan juga dapat menyatukan ideologi dan perpaduan.

"Ini peluang untuk kita menggalakkan budaya membaca, bukan hanya dalam kalangan anak-anak di sekolah malah masyarakat secara umum.

"Selain kita mahu memupuk budaya membaca dari peringkat awal, kita ingin masyarakat yang terdidik untuk menjadi madani. Masyarakat perlu berilmu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron berkata, lebih 813 reruai disediakan kepada para pempamer yang terlibat.

Dan untuk julung kalinya, kata Mohd Khair, PBAKL kali ini menampilkan Negara Tamu, Negeri Tamu dan Kementerian Tamu sebagai tarikan dan keunikan kepada pengunjung pesta buku berkenaan.

“Tiga Tamu yang dimaksudkan adalah China sebagai Negara Tamu; Sarawak (Negeri Tamu) dan Kementerian Pendidikan (Kementerian Tamu).

“Pada 1 Jun nanti, Negeri Tamu iaitu Sarawak bakal mengadakan sambutan Hari Gawai di reruai mereka dan aktiviti ini dijangka mendapat perhatian luar biasa kerana belum pernah dianjurkan oleh PBAKL sebelum ini,” ujarnya kepada Selamat Pagi Malaysia (SPM) di TV1 pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Khair berkata, PBAKL 2023 menjanjikan kepelbagaian koleksi buku terkini dan berkualiti kepada orang ramai yang hadir sepanjang pesta buku berlangsung.

Malah ujarnya lagi, PBAKL 2023 akan membawa dan mempertemukan barisan penulis buku kepada pembaca seterusnya memberi ruang mereka berinteraksi antara satu sama lain.

Selain itu pelbagai aktiviti menarik turut disediakan khusus kepada pengunjung yang datang.

Jadi datanglah beramai-ramai ke PBAKL 2023 bermula 26 Mei ini di WTCKL.

Kepada guru dan para ibu bapa serta penjaga pula, gunakanlah waktu Cuti Penggal 1 2023/2024 yang bermula 26 Mei hingga 4 Jun depan dengan membawa murid atau anak-anak ke pesta buku berkenaan.

Sinar Bestari yakin, kunjungan anak-anak didik ke PBAKL 2023 pasti memberi satu pengalaman indah buat mereka.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok