Pekerja asing datang untuk bekerja dan mereka mungkin memegang pelbagai jenis pekerjaan dari yang tidak terlatih hingga sangat terlatih. Gambar kecil: Muhammad Faiz.
Pekerja asing datang untuk bekerja dan mereka mungkin memegang pelbagai jenis pekerjaan dari yang tidak terlatih hingga sangat terlatih. Gambar kecil: Muhammad Faiz.

Ekonomi dengan lambakan pekerja asing

02 Feb 2024 08:35am

Pekerja asing adalah orang yang bekerja di sesebuah negara dan mereka bukanlah warganegara tempatan.

Sesetengah pekerja asing menggunakan program pekerja tetamu di negara yang mempunyai prospek pekerjaan lebih disenangi daripada negara asal mereka.

Mereka datang dari luar negara untuk bekerja dan mungkin memegang pelbagai jenis pekerjaan dari yang tidak terlatih hingga sangat terlatih.

Pertumbuhan dan kemajuan ekonomi suatu negara tidak hanya membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan, tetapi juga memberikan kesempatan kepada warga asing.

Malaysia, dengan populasi kira-kira 33 juta, merupakan salah satu negara di Asia Tenggara yang mengalami kemajuan ekonomi pesat.

Keadaan ini menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik bagi pencari pekerjaan, baik dari dalam negara maupun luar negara.

Perkembangan arus globalisasi yang semakin rancak mengakibatkan setiap negara telah mengamalkan dasar buka pintu, iaitu dengan menerima kemasukan pekerja dari luar negara dalam usaha untuk meningkatkan lagi ekonomi negara.

Kekayaan, teknologi dan kuasa antarabangsa turut menjadi pendorong perubahan yang signifikan dalam masyarakat global.

Artikel Berkaitan:

Era globalisasi dan arus informasi dunia telah mempercepat integrasi ekonomi dan kerajaan menghadapi masalah untuk mengawal kawasan sempadan mereka sendiri.

Dengan pertumbuhan industri dan ekonomi yang pesat, salah satu perkara yang sukar dielakkan oleh sesebuah negara termasuk Malaysia ialah menerima kemasukan pekerja asing.

Selain itu, kekurangan sumber tenaga kerja tempatan dalam sektor tertentu membolehkan pekerja asing memenuhi peluang pekerjaan yang ada tersebut.

Pada awalnya, kemasukan pekerja asing hanya dihadkan bagi sektor pembinaan dan pertanian sahaja, namun telah merebak ke sektor-sektor lain seperti sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan.

Terdapat juga sektor seperti restoran, pembantu rumah dan hotel yang sepatutnya boleh diisi oleh pekerja tempatan tetapi telah dikuasai oleh pekerja asing.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia masih bergantung kepada tenaga kerja asing dalam sektor-sektor yang masih kurang mendapat sambutan daripada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan kerja tersebut.

Keadaan ini telah menyebabkan permintaan kepada tenaga buruh asing semakin meningkat dan secara tidak langsung telah mengubah struktur pasaran tenaga buruh.

Melebihi unjuran ditetapkan

Menurut Kementerian Sumber Manusia (KSM), mereka mengakui telah berlaku lambakan pekerja asing dalam negara sehingga melebihi unjuran yang telah ditetapkan.

Unjuran jumlah pekerja asing setakat 30 September 2023 adalah lebih 2.7 juta orang.

Hal ini telah melebihi unjuran Kementerian Ekonomi yang telah menetapkan seramai 2.4 juta orang pekerja asing sepatutnya berada di Malaysia.

Menurut KSM, jumlah itu telah merangkumi lebih 1.8 juta pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan lebih 150,000 pekerja asing yang belum memasuki Malaysia.

Jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 pula adalah seramai 747,167 orang.

Walaupun kemasukan pekerja asing memberi kesan positif kepada negara, namun hal ini semestinya akan memberikan sedikit kesan yang negatif kepada ekonomi negara apabila kemasukan pekerja asing ini tidak dibendung.

Lambakan pekerja asing di Malaysia telah mengambil alih banyak peluang pekerjaan golongan tempatan terutamanya bagi jawatan-jawatan bernilai rendah yang tidak memerlukan kemahiran tinggi contohnya pembantu ladang dan pembinaan, operator kilang dan sebagainya.

Ramai majikan lebih gemar mengambil pekerja asing untuk jawatan-jawatan ini kerana kos menggaji pekerja asing lebih murah berbanding pekerja tempatan.

Kesannya, ramai graduan dan pekerja tempatan hilang peluang pekerjaan.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan pekerja tempatan meminta gaji yang lebih tinggi supaya dapat menampung perbelanjaan mereka dan turut dapat menikmati kemajuan yang ada di negara Malaysia.

Kesan ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi rakyat tempatan di mana golongan muda atau pekerja separa mahir yang ada dalam negara ditindas hanya disebabkan syarikat-syarikat lebih gemar menggunakan pekerja asing berbanding pekerja tempatan.

Ini jelas menunjukkan lambakan pekerja asing menyumbang kepada masalah pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan sendiri.

Tindakan tegas dan bersepadu daripada pihak yang bertanggungjawab sangat diperlukan bagi membendung masalah ini daripada terus berlarutan.

Selain itu, kesan lambakan pekerja asing akan menyebabkan aliran wang keluar negara semakin meningkat.

Hal ini dikatakan demikian kerana, sebahagian besar gaji yang diperoleh oleh pekerja asing akan dihantar balik ke negara asal mereka untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan dalam petikan laporan Sinar Harian berkata, jumlah wang yang dialirkan keluar dari negara ini secara rasmi berjumlah RM 34 bilion setahun.

Kos tersebut tidak termasuk pekerja asing yang datang secara tidak sah dan sebagainya.

Kebanyakan pekerja asing tidak mempunyai komitmen jangka panjang untuk menetap dan berbelanja di Malaysia.

Namun, hasrat mereka adalah untuk berjimat dan menghantar wang ke kampung halaman untuk masa depan mereka.

Akibatnya, pertumbuhan ekonomi tempatan terjejas kerana wang yang sepatutnya diedarkan dalam sistem kewangan domestik telah dialirkan keluar secara besar-besaran.

Langkah pencegahan yang ketat perlu diambil oleh kerajaan bagi menyekat pengaliran wang keluar negara yang semakin meningkat.

Bebanan kewangan negara

Seterusnya, lambakan pekerja asing dalam negara akan meningkatkan bebanan kewangan kerajaan.

Hal ini dikatakan demikian kerana, kerajaan Malaysia perlu menanggung kos kewangan tambahan yang besar untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam kepada bilangan pekerja asing yang kian meningkat di negara ini.

Infrastruktur sedia ada seperti jalan raya, pengangkutan awam, bekalan air dan elektrik menjadi tidak mencukupi dan mengalami bebanan yang berlebihan.

Kepadatan penduduk menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas dan pengangkutan awam tidak mampu untuk menampung jumlah pengguna yang terlalu ramai.

Keadaan ini akan memaksa kerajaan untuk memperuntukkan perbelanjaan tambahan bagi menaik taraf infrastruktur ini.

Selain itu, berlaku juga masalah pembuangan sampah dan sisa domestik akibat ramainya pekerja asing yang menetap di kawasan setinggan dan sekitar bandar besar.

Hal ini akan memberi kebimbangan kepada penduduk sekitar yang mungkin akan terdedah dengan pelbagai penyakit kesan daripada kawasan yang tercemar dengan pelbagai sampah.

Walaupun pekerja asing membayar cukai pendapatannya, namun hasil kutipannya adalah terhad dan tidak sepadan dengan perbelanjaan tambahan yang ditanggung oleh kerajaan akibat populasi tinggi mereka di sini.

Kesimpulannya, walaupun lambakan pekerja asing dapat membantu industri menampung masalah kekurangan buruh, tetapi tetap memberi impak negatif kepada ekonomi dan masyarakat tempatan dalam jangka panjang.

Penilaian semasa strategi kerajaan dalam mendepani isu ini masih belum cukup berkesan memandangkan jumlah pekerja asing tetap meningkat saban tahun.

Majikan masih lagi bergantung sepenuhnya kepada mereka.

Harapan masa depan diharap agar kerajaan dapat membendung kemasukan pekerja asing melalui sekatan yang holistik seperti kuota, sekatan kemasukan sektor tertentu dan kerjasama dua hala dengan negara sumber.

Dasar sebegini penting bagi melindungi peluang pekerjaan rakyat tempatan. Secara keseluruhannya, walaupun pekerja asing menyumbang kepada ekonomi negara, kesan negatif daripada pengambilan pekerja asing secara berleluasa perlu dibendung melalui langkah yang tegas dan telus dari pihak kerajaan dan majikan.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Sumber Asli Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Faiz Abd Rahman

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp