Aniza
Aniza

PBAKL 2025 perkukuh budaya membaca

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
02 Jun 2025 04:11pm

Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 disifatkan sebagai pemangkin utama dalam mengangkat martabat buku dan memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Menurut Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Aniza Kamarulzaman, pesta buku yang memasuki edisi ke-42 itu bukan sekadar acara tahunan tetapi platform strategik bagi menyemarakkan ekosistem ilmu negara.

“PBAKL kali ini membawa keterujaan baharu menerusi penglibatan pempamer dari pelbagai negara, kerjasama rentas kementerian dan sokongan rakan strategik demi memperkasa bahan bacaan dalam pelbagai bentuk dan bahasa,” ujarnya dalam Majlis Pembuka Tirai PBAKL 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), baru-baru ini.

Tema yang dipilih tahun ini, Buku: Membaca dan Memimpin dilihat amat bertepatan dengan aspirasi negara dalam melahirkan masyarakat berilmu, kritis dan mampu memimpin masa hadapan dengan berteraskan pembacaan.

“Tema ini bukan sekadar slogan, tetapi satu seruan strategik untuk menjadikan budaya membaca sebagai asas pembinaan pemimpin yang berpandangan jauh dan berintegriti,” tambah Aniza.

No Image Caption

Sementara itu, Pengerusi Pengelola PBAKL 2025, Mohd Khair Ngadiron menyasarkan kehadiran lebih 1.9 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjuran pesta berprestij itu.

PBAKL 2025 bakal menjadi simbol komitmen negara dalam membentuk masyarakat berpengetahuan dan mendukung nilai literasi sebagai tonggak kemajuan negara.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp