No Image Caption

PBS ganti pemansuhan UPSR, PT3

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
07 Jun 2023 05:40pm

Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sebagai inisiatif bagi memantapkan sistem pentaksiran kebangsaan yang bersifat holistik.

Ia susulan daripada pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai 2021 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun 2022 dengan memberi tumpuan kepada empat komponen iaitu Pentaksiran Pusat (PP); Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK); Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KPM, komponen-komponen ini direka bentuk selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) tercapai.

“Inisiatif terbaharu ini penting bagi memperkenalkan infrastruktur dan ekosistem yang mampu mendukung hasrat KPM untuk melihat murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

“Justeru, pelaksanaan PBS ini adalah satu landasan penting untuk KPM melihat keberkesanan serta penambahbaikan yang perlu dilakukan,” menurut kenyataan tersebut lanjut.

PBS telah diumumkan pada Konvensyen Libat Urus PBS Tahun 2023 yang diadakan pada 6 dan 7 Jun 2023 di Hotel Wyndham Acmar, Klang, Selangor melibatkan guru, ibu bapa, pemegang taruh dan masyarakat umum untuk membincangkan isu dan perkara berkaitan PBS secara lebih terbuka.

Ia telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut dihadiri timbalannya, Lim Hui Ying.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali; Pengarah Peperiksaan, Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Pengarah-Pengarah bahagian KPM; pegawai-pegawai KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Artikel Berkaitan:

Konvesyen tersebut turut dihadiri wakil-wakil daripada National Union of the Teaching Profession (NUTP), Pengetua Guru Besar (PGB), Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Pelibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS), pemegang taruh, dan guru dari seluruh negara termasuk guru-guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp