No Image Caption

Pelajar berkeperluan khas nikmati akses pendidikan yang adil

29 Aug 2023 04:30pm



Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha memastikan murid-murid berkeperluan khas (MBK) mendapat akses sama rata dalam pembelajaran.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian sedang melaksanakan satu pelan baharu yang dipanggil Program Pendidikan Inklusif (PPI) yang membolehkan semua pelajar tanpa mengira keperluan belajar bersama.

“Kita mahu semua pelajar sama-sama mempunyai peluang untuk belajar dan membesar.

“Oleh itu, PPI akan membantu mewujudkan sistem pendidikan lebih inklusif yang dapat memberikan banyak faedah kepada para pelajar,” kata Fadhlina memetik Sinar Daily pada Selasa.

PPI merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Pelan itu bertujuan menyediakan pendidikan berkualiti kepada semua kanak-kanak di negara ini tanpa mengira latar belakang mereka.

Ia akan dilaksanakan di semua sekolah di Malaysia dan mereka dikehendaki menubuhkan Jawatankuasa Pendidikan Khas Sekolah untuk merancang dan melaksanakan program tersebut.

Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab melantik penolong guru untuk menyokong pelajar MBK dan memberi latihan kepada guru serta kakitangan sekolah yang lain.

Artikel Berkaitan:


KPM juga telah menubuhkan 13 Pusat Khidmat Pendidikan Khas (3PK) bagi memberi khidmat sokongan kepada warga pelajar tersebut.

Pusat ini menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk audiologi, terapi pertuturan bahasa, terapi pekerjaan, psikologi dan fisioterapi.

Tambah Fadhlina, kementerian komited memberi peluang kepada semua pelajar untuk berjaya.

“Kami percaya setiap kanak-kanak mempunyai potensi untuk belajar dan PPI adalah satu cara untuk merealisasikannya,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp