Pelajar Malaysia di Los Angeles digalak kemas kini butiran diri
Semua pelajar Malaysia yang berada di Los Angeles, Amerika Syarikat digalak untuk mengemas kini butiran diri dan pengajian melalui sistem MyData@EducationMalaysia4U bagi memastikan capaian maklumat data yang tepat.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, setakat ini terdapat 14 pelajar Malaysia yang menuntut di University of California, Los Angeles (UCLA) dan berhampiran dengan lokasi kebakaran hutan yang sedang berlaku.
"Setakat hari ini, keadaan pelajar dalam keadaan baik dan akan terus berada di kediaman masing-masing sehingga arahan terbaharu diterima.
"KPT bersama pejabat Konsulat Jeneral di Los Angeles juga bersetuju untuk memberi bantuan dan akan melaksanakan pelan pengungsian sekiranya perlu melalui penempatan pelajar di rumah pegawai sebagai shelter house. Bagaimanapun, pada ketika ini tiada arahan pengungsian dikeluarkan oleh pihak UCLA kepada pelajar,” menurut kenyataan itu.
KPT turut menasihati semua pelajar supaya berhubung dengan Pejabat Education Malaysia Los Angeles menerusi talian +1-626-879-4923 atau melalui e-mel di emla@mohe.gov.my.
Pada 8 Januari lepas, dilaporkan kebakaran hutan yang dahsyat didorong angin ribut yang kuat dan keadaan kering, telah merebak dengan pantas di bahagian utara dan barat laut Los Angeles yang sehingga kini meragut 11 nyawa dan menyebabkan ribuan rumah, perniagaan serta struktur lain terbakar. - Bernama