3 pelajar Malaysia di Los Angeles sudah dipindahkan ke tempat selamat!
Kebakaran hutan yang melanda Los Angeles (LA), Amerika Syarikat pada 7 Januari lalu telah mencetuskan perhatian ramai termasuklah keselamatan rakyat Malaysia yang berada di sana.
Terbaharu, tiga pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di Universiti California Los Angeles (UCLA) sudah dipindahkan ke tempat selamat susulan tragedi kebakaran yang kini dilaporkan semakin merebak.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, kawasan kebakaran Pacific Palisades dijangka merebak lebih luas kerana angin kencang yang diramalkan berlaku hingga Rabu.
"Mereka (pelajar Malaysia) yang tinggal di luar kampus UCLA sudah menerima amaran pemindahan dan kini ditempatkan dengan selamat di salah satu kediaman kakitangan kedutaan (Home Based Staff (HBS) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka," ujarnya menerusi portal tempatan.
Beliau berkata, laporan terkini Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles memaklumkan sekiranya keadaan semakin buruk maka lebih ramai pelajar mungkin dipindahkan.
"Misi diplomatik Malaysia sudah bersiap sedia dengan pelbagai langkah termasuk menyediakan beberapa lagi kediaman HBS untuk menampung pemindahan.
"Dalam masa sama, perkembangan situasi akan terus dipantau dengan teliti dan menyediakan kemas kini harian jika diperlukan," katanya.
Sebelum ini, Sinar Bestari dalam artikel pada Ahad melaporkan yang Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggesa pelajar Malaysia di LA mengemas kini butiran diri dan pengajian melalui sistem MyData@EducationMalaysia4U bagi memastikan capaian maklumat data yang tepat.
KPT turut menasihati semua pelajar supaya berhubung dengan Pejabat Education Malaysia Los Angeles menerusi talian +1-626-879-4923 atau melalui e-mel di emla@mohe.gov.my sekiranya berhadapan dengan kejadian kebakaran itu.