Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

Pelajar perubatan Mara di Universiti Al-Azhar terima diskaun yuran pengajian

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
21 Apr 2025 07:49pm

Pelajar perubatan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Universiti Al-Azhar mendapat pengurangan yuran pengajian daripada RM150,000 kepada hanya RM85,000 bagi tempoh pengajian lima tahun.

Perkara itu diumumkan Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi media sosial Facebook dan turut menjelaskan bahawa diskaun tersebut diperoleh daripada hasil rundingan dengan universiti berkenaan empat bulan lalu.

“Alhamdulillah, berita ini baru sahaja diterima. Insya-ALLAH, saya akan mengarahkan Mara untuk segera siapkan kertas cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi untuk diangkat kepada Majlis Jemaah Menteri.

“(Ia) untuk membolehkan MARA kembali menaja pelajar-pelajar Melayu-Bumiputera untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian di Universiti Al-Azhar,” katanya.

Sebelum ini, Mara masih menunggu keputusan rasmi terhadap permintaan diskaun yang dikemukakan kepada universiti yang berpangkalan di Mesir itu khusus kepada pelajar Melayu dan Bumiputera di bawah tajaannya bagi mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Menerusi perkongsian sama, Asyraf Wajdi turut memuat naik video kunjungannya bersama delegasi Mara ketika bertemu Presiden Universiti Al-Azhar, Profesor Dr Salamah Abu Daud dan Naib Presiden, Dr Mahmoud Siddiq bagi memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Kunjungan berkenaan juga jelasnya, dilakukan dengan harapan pihak universiti mempertimbangkan penambahan kuota mahasiswa perubatan yang cemerlang di Malaysia dalam mengisi keperluan perubatan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp