“Berani sangatlah tu bila ada geng...one by one lah baru anak jantan.” - Antara komen netizen.
“Berani sangatlah tu bila ada geng...one by one lah baru anak jantan.” - Antara komen netizen.

Pelajar Tingkatan 3 dibelasah beramai-ramai, berikut kronologi kejadian

ROSHLAWATY MD RAIEH
12 May 2023 12:55pm
A
A
A

Hampir setiap hari masyarakat dihidangkan dengan kejadian buli membabitkan para pelajar dari sekolah rendah atau menengah.

Terbaharu, seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga dari sebuah sekolah di Gombak dibelasah sekumpulan rakannya secara beramai-ramai berpunca daripada perselisihan faham.

Video membabitkan pergaduhan itu mula tular pada Khamis di media sosial Instagram sehingga menimbulkan kemarahan semua warga maya.

Sinar Bestari memetik komen netizen berkenaan kejadian buli yang dikatakan berlaku di Trek Motocross Bukit Mar Mar, Kemensah, Kuala Lumpur.

“Ramai-ramai lawan satu, hebatlah tu konon, memalukan keluarga. Parents hantar sekolah korang sibuk nak jadi king.”

“Harap budak-budak ini masuk juvana.”

“Berani sangatlah tu bila ada geng...one by one lah baru anak jantan.”

“Tangkap semua pelaku melampau.”

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kronologi pergaduhan seperti yang ditonton Sinar Bestari menerusi video tular tersebut bermula dengan mangsa yang dipaksa berlawan dengan salah seorang suspek.

Bagaimanapun keadaan menjadi tidak terkawal selepas rakan-rakan suspek yang ada di situ mula campur tangan dan mula membelasah mangsa tanpa belas kasihan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Mohamad Farouk Eshak dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan beberapa pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur, kerana disyaki membuli seorang pelajar Tingkatan Tiga.

Menurut Mohamad Farouk, akibat insiden itu, pengadu cedera di bahagian dahi dan kepala, luka di bahagian tepi kening kiri, luka di rahang bahagian muka kiri serta belakang tengkuk mengalami kesakitan dan bengkak.

“Siasatan mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham kerana tidak menghormati sekumpulan pelajar senior Tingkatan Lima dari sekolah tersebut.

“Kesemua pihak yang terlibat dalam insiden berkenaan telah dipanggil polis untuk merakam keterangan bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

“Individu yang disabitkan kesalahan itu boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya,” ujarnya.

Setakat ini, Kementerian Pendidikan (KPM) masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung isu buli yang dikatakan terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, Kuala Lumpur, itu.

Diharapkan KPM segera mengambil tindakan tegas yang sewajarnya kepada mereka yang terlibat dalam kejadian buli berkenaan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok