Pelajar Tingkatan Empat sawan, hisap vape 'magic mushrooms'
Seorang pelajar Tingkatan Empat dikejarkan ke hospital di daerah Kemaman, Terengganu selepas mengalami sawan dan tidak sedarkan diri dipercayai selepas mengambil rokok elektronik atau vape jenis 'magic mushrooms'.
Menurut sumber, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi apabila mangsa dikatakan rebah secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri ketika berada di sekolah, minggu lalu.
"Kejadian itu disedari rakan-rakan mangsa dan bergegas memberitahu guru. Mangsa kemudian dibawa ke klinik kesihatan berhampiran oleh ahli keluarganya sebelum dikejarkan ke hospital," jelasnya.
Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan mendapati pelajar itu mengalami sawan akibat pengambilan bahan kimia secara berlebihan.
"Ahli keluarga yang bimbang dengan keselamatannya telah membuat laporan polis Jumaat lalu.
"Difahamkan, mangsa masih menerima rawatan dan masih belum pulih," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.