Para pelajar telah didedahkan kandungan berkaitan pilihan raya menerusi subjek Sejarah. Gambar kecil: Fadhlina
Para pelajar telah didedahkan kandungan berkaitan pilihan raya menerusi subjek Sejarah. Gambar kecil: Fadhlina

Pembelajaran berkaitan pilihan raya sudah tersedia dalam subjek Sejarah - Fadhlina

ROSHLAWATY MD RAIEH
22 Feb 2023 06:35pm
A
A
A

Kandungan yang berkaitan pilihan raya telah dimasukkan secara khusus dalam mata pelajaran Sejarah manakala elemen tentang pilihan raya pula dilaksanakan dalam pendidikan sivik dan aktiviti kokurikulum.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menerusi kandungan pembelajaran itu, murid-murid telah didedahkan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab rakyat kepada negara termasuklah latar belakang pengetahuan asas sejarah negara melalui tema Sejarah Awal Negara, Kedaulatan Negara dan Kemakmuran Negara Kita.

Katanya lagi, selaras dengan kematangan usia dan tahap pengetahuan, pelajar sekolah menengah diketengahkan pula dengan lebih mendalam mengenai politik melalui tema Sejarah Kita dan Dunia; Warisan Bangsa; Kedatangan Kuasa Asing; Pembinaan Negara serta Malaysia dan Masa Hadapan.

“Tema-tema ini bertujuan supaya pelajar memahami kepentingan peranan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara,” ujarnya menjawab soalan Datuk Seri Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) mengenai tahap kesediaan KPM untuk memperkenalkan subjek pilihan raya atau memasukkan elemen Undi18 dalam mata pelajaran di peringkat sekolah menengah seperti dituntut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sementara itu, KPM menjalin kerjasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) sebagai langkah untuk memupuk kesedaran politik melalui aktiviti kokurikulum.

Menerusi kerjasama tersebut, mereka akan melaksanakan pelbagai aktiviti patriotisme melalui Kelab Malaysiaku.

Seterusnya, KPM turut menyokong program dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) melalui Kelab Rukun Negara yang merangkumi aktiviti-aktiviti berteraskan kepada pengukuhan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan Rukun Negara.

“KPM berpandangan pelaksanaan kandungan kurikulum dan aktiviti kokurikulum sedia ada membolehkan murid dan pelajar memperoleh pengetahuan, pemahaman serta penghayatan tentang pendidikan politik dan perlembagaan persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga yakin pengetahuan dan penghayatan tersebut boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian dan dapat mempersiapkan murid untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka kepada negara,” jelas Fadhlina.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok