Penggunaan teknologi interaktif bantu tarik minat pelajar dalam bidang STEM
Dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar yang berdaya saing, penggunaan teknologi interaktif dilihat membantu merangsang minat secara mendalam terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, pendidikan STEM menekankan konsep berpandukan komponen 4C atau 4K iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal seperti yang terkandung dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
“Pembangunan komponen ini dilihat dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran tinggi dalam menyelesaikan masalah kompleks.
“Perkara ini adalah antara tanggungjawab utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“MOSTI sentiasa berusaha untuk mempromosikan STEM secara berterusan dan lebih agresif bagi menarik minat golongan muda kerana ia selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang telah kita lancarkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Kemuncak Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) di Shah Alam, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM) kini sedang membangunkan Sistem Pengawasan STIE Trend Watch.
“Pembangunan ini adalah sebagai salah satu usaha bagi meningkatkan jumlah penyelidik di sektor industri yang ketika ini hanya mempunyai 15.83 peratus penyelidik.
“Sistem pengawasan data secara ‘real-time’ ini bertujuan untuk memantau dan mempertingkatkan bakat STEM negara dan dijangkakan untuk memenuhi sasaran peningkatan 10 hingga 15 peratus jumlah penyelidik dalam sektor industri menjelang 2030,” jelasnya.
Sementara itu, lima buah sekolah telah diumumkan sebagai pemenang ASSSB yang terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah bagi kategori Rendah Bandar; SK Chopin, Parit, Perak bagi kategori Rendah Luar Bandar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur bagi kategori Menengah Bandar; SMK Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor bagi kategori Menengah Luar Bandar dan SK Pos Dipang, Kampar, Perak sebagai penerima Anugerah Khas Juri.
Ahmad Amzad berkata, ASSSB adalah pertandingan yang merangkumi semua aspek yang diperlukan dalam sistem pendidikan hari ini iaitu skil, mahir, atribut, relevan dan teknologi yang menjadi amalan dalam sistem pendidikan hari ini.
“Kepada sekolah yang menang hari ini, tahniah diucapkan dan saya berharap ia tidak terhenti setakat ini dan akan berterusan dan ambillah peluang untuk meneroka teknologi dalam usaha memantapkan sistem pendidikan hari ini,” ujar beliau.
Artikel berkaitan
Kemahiran digital SK Dato’ Wan Kemara raih pengiktirafan antarabangsa
Hasil kejayaan pelajar dan guru berjaya julang nama SMK Saujana Utama
Keprihatinan SK Pos Dipang menghulurkan bantuan, sumbang ke arah kecemerlangan murid