WhatsApp Image 2022-10-07 at 4.42.39 PM
WhatsApp Image 2022-10-07 at 4.42.39 PM

Pentingnya bahasa Arab dalam pendidikan hari ini

Norliza Wasilan
11 Oct 2022 12:33pm
A
A
A

Bahasa Arab mempunyai kedudukan cukup istimewa kepada umat Islam kerana ia merupakan bahasa yang digunakan dalam hadis dan juga al-Quran.

Bagaimanapun, penguasaannya kini bukan semata-mata berkaitan agama tetapi juga melibatkan kepentingan pendidikan, perniagaan, pelancongan, komunikasi, politik, ekonomi dan kebudayaan.

Martabat bahasa ini juga mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengisytiharkannya sebagai satu daripada enam bahasa rasmi persidangannya pada 18 Disember 1973, selain Inggeris, Cina, Perancis, Sepanyol dan Rusia.

Hari Bahasa Arab Sedunia pula mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 18 Disember 2012.

Dianggarkan penutur bahasa berusia lebih 1,500 tahun itu kini berjumlah lebih 400 juta dan semakin banyak sekolah serta universiti dunia termasuk Malaysia menawarkan pengajian bahasa Arab.

Ustaz Don.

Faktor sekeliling

Pendakwah dan penceramah selebriti terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata, berdasarkan psikologi, minat untuk mempelajari atau menyukai sesuatu boleh timbul disebabkan persekitaran.

Mengambil kisah Anas bin Malik yang gemar makan labu selepas melihat Nabi Muhammad SAW menyukai buah berkenaan ketika memenuhi undangan, ustaz Don memaklumkan bahawa minat juga boleh didorong akibat perasaan cinta.

“Melalui satu kisah diceritakan Anas bin Malik, mula daripada aku nampak Nabi Muhammad SAW sangat senang dan suka makan labu, maka aku pun suka makan labu.

“Maka jelaslah bahawa minat akan terbit atas faktor luaran dengan mengambil kisah Anas itu, begitu jugalah bahasa Arab.

“Malah, dalam ilmu psikologi turut menyatakan minat ini boleh diterbitkan berdasarkan faktor sekeliling, pada masa sama faktor luaran juga sangat membantu,” ujarnya.

Sehubungan itu, tambahnya, kaedah pengajaran kreatif dan menggunakan konsep didik hibur boleh menggalakkan pelajar cenderung mempelajari, seterusnya menguasai bahasa Arab.

Tuturnya lagi, media arus perdana dan media massa boleh memainkan peranan dengan mengalakkan penerbitan program berbahasa Arab sebagai antara usaha meningkatkan minat mencintai bahasa tersebut.

“Program televisyen berbahasa Arab juga sangat digalakkan dan boleh juga wujudkan rancangan seperti Oh My English! tetapi versi bahasa Arab,” tambahnya.

Serlah intelektual

Ketika mengulas kelebihan menguasai bahasa Arab, Ustaz Don berkata, pelajar sama ada peringkat sekolah ataupun universiti pasti dapat meningkatkan keyakinan diri untuk berkomunikasi.

Pada masa sama, ujarnya, ia juga dapat membantu memahami al-Quran dan meluaskan bidang kerjaya termasuklah membuat kajian mengenai sejarah serta artifak berusia ribuan tahun.

“Mereka boleh rujuk sumber artifak asli berusia ribuan tahun dan kerja mereka menjadi lebih mantap kerana bahasa Arab (yang terdapat dalam artifak sejarah) tetap sama seperti digunakan hari ini.

“Bahasa yang digunakan dalam manuskrip ribuan tahun juga masih boleh difahami sehingga sekarang, sekali gus menyerlahkan tahap intelektual seseorang (ketika membuat kajian), begitu juga bahasa Arab seperti dalam al-Quran, ia tetap sama,” tambahnya.

Hubungan dengan bahasa Melayu

Ustaz Don berkata, bahasa Arab sebenarnya mudah dikuasai oleh rakyat negara ini yang majoritinya Melayu kerana terdapat perkataan dipinjam daripada bahasa berkenaan.

“Bahasa Arab mudah dikuasai kerana bahasa Melayu sendiri boleh disusun menggunakan pinjaman bahasa Arab dengan sempurna.

“Sebagai contoh, solat Subuh di masjid, ustaz hafal surah lazim dan kitab al-Quran mukjizat Rasulullah, (ayat ini) cukup sempurna (perkataan dalam ayat ini sendiri berasal daripada bahasa Arab),” tambahnya.

Mohd Ikhwan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Arab, Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Abdul Hamid Abu Sulayman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohd Ikhwan Abdullah berkata, menguasai bahasa Arab memberi banyak kelebihan.

Ini kerana, ujarnya, bahasa tersebut telah mencapai tahap yang tinggi dalam dunia hari ini sehingga mendapat pengiktirafan di PBB dan syarikat ternama dunia.

Tambahnya, kelebihan berkomunikasi dalam bahasa itu juga menjadi nilai tambah untuk mendapatkan pelbagai peluang, antaranya pendidikan, kerjaya, ekonomi dan juga perniagaan.

“Kini, seseorang yang menguasai bahasa Arab mempunyai peluang kerjaya lebih meluas sehingga ada ditawarkan pekerjaan di syarikat Google (sebuah syarikat teknologi multinasional Amerika Syarikat) menjadi penganalisis data dan juga syarikat besar lain.

“Mereka (syarikat Google) ini memerlukan seseorang yang fasih berbahasa Arab kerana dunia hari ini banyak isu melibatkan keganasan, peperangan, agama, sosial dan sebagainya,” tuturnya.

Dr Mohd Ikhwan bersama pelajarnya.

Stigma

Ditanya stigma masyarakat mengaitkan bahasa Arab sebagai sukar dipelajari, Mohd Ikhwan menegaskan pandangan itu harus diubah.

Ini kerana, katanya, jika pendekatan diambil itu betul, santai dan menarik maka sudah pasti proses pembelajaran menjadi mudah serta berkesan, sekali gus meningkatkan semangat untuk terus mempelajarinya.

“Jangan sesekali memberi gambaran menakutkan seperti kena banyak menghafal. Kita perlu kenal sasaran, untuk pemula pula jangan terapkan benda yang terlalu berat, buatlah secara santai tetapi berkesan.

“Fokus kepada penggunaan ayat seharian dan tidak semata-mata menghafal, lebih menarik jika gunakan kaedah pengajaran seperti lazimnya digunakan untuk belajar bahasa Inggeris.

“Perbanyakkan video menarik berbahasa Arab, jika di peringkat sekolah, biar mereka main tetapi dalam bermain itu dapat belajar ayat atau perbualan baharu,” tuturnya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan diwujudkan ikon yang menarik minat masyarakat, sama ada dalam bentuk permainan ataupun program realiti menggunakan bahasa Arab sebagai pertuturan utama.

“Daripada situ, mereka sudah tentu mempunyai perasaan ingin tahu lebih mendalam, secara tidak langsung mendekatkan mereka dengan bahasa Arab menerusi ikon yang ditonjolkan,” ujarnya.

Didik hibur

Muhammad Yusof.

Guru Besar Sekolah Rendah Islam Integrasi Puncak Jalil, Selangor, Muhammad Yusof Munir pula berpandangan, menguasai bahasa asing sememangnya mencabar dan memerlukan minat cukup tinggi.

Oleh itu, ujarnya, kaedah pendidikan dekat dengan kanak-kanak ataupun pemula yang baru hendak belajar perlu menekankan konsep pendidikan secara didik hibur.

Tambahnya, pendekatan itu boleh menggalakkan mereka menguasai perkataan seterusnya meningkatkan minat untuk ke tahap seterusnya.

“Bahasa Arab menjadi kelebihan jika menguasainya, jadi untuk menarik minat mereka ini, pengajar memerlukan kesungguhan dan menggunakan kaedah menghiburkan.

“Mereka boleh menggunakan pelbagai kreativiti sama ada melakukan aktiviti berkumpulan atau mengadakan permainan di dalam kelas untuk murid masing-masing,” ujarnya.

Pupuk minat

Fatimah Azzaharah.

Dalam pada itu, guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan Dato' Wan Kemara, Changlun, Kedah, Fatimah Azzaharah Amat Ramsa pula berpendapat, usaha memupuk minat adalah dengan mewujudkan persekitaran menyeronokkan dan interaktif.

Tuturnya, untuk peringkat awal, murid perlu didedahkan dengan perkataan asas melibatkan apa yang terdekat dengan kehidupan seharian.

“Pelbagai aktiviti boleh dilakukan, contohnya di kelas sekolah rendah, perbanyakkan permainan, menyanyi, choral speaking ataupun membaca teks mudah.

“Ia secara tidak langsung meningkatkan keyakinan mereka untuk lebih mempelajarinya dan minat ini perlu dipupuk sebaiknya sebagai galakan,” ujarnya yang turut mengajar tiga anaknya berbahasa Arab di rumah.

Andrew Loh.

Bagi, graduan Universiti Harvard, Andrew Loh, 35, bahasa Arab telah membuka peluang untuknya meneroka keindahan dunia Arab.

Jelasnya, dia cukup gembira berjaya menguasai bahasa Arab memandangkan sebelum ini telah dibesarkan dengan lima bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Mandarin, Kantonis, dan Hakka.

“Apabila melanjutkan pengajian di Swarthmore College, Amerika Syarikat, saya mencabar diri untuk belajar bahasa serta abjad baharu dan ketika itulah bahasa Arab menjadi pilihan.

“Hasilnya, saya dapat memahami dan menghayati politik, sejarah, budaya serta agama di Timur Tengah dengan lebih mendalam selepas menguasai bahasa ini.

“Pada masa sama, dengan kefasihan berbahasa Arab, ia juga amat membantu kerjaya saya sebagai seorang perunding antarabangsa,” ujarnya yang cukup fasih berbahasa Arab.

Tulisan jawi

Dianggarkan lebih 1,000 kosa kata bahasa Melayu yang dipinjam daripada kosa kata Arab.

Mempunyai tambahan huruf yang tiada dalam bahasa Arab iaitu ca( چ), nga (ڠ), ga (ݢ), va (ۏ ), pa( ڤ) dan nya (ڽ ).

Tulisan jawi ditulis dari kanan ke kiri seperti tulisan Arab.

Apa kata mereka

Izz Amanda Delisha.

"Bahasa Arab ialah bahasa al-Quran, jadi saya seronok belajar di sekolah. Saya harap apabila besar nanti dapat kuasai bahasa Arab untuk faham kandungan kitab suci. Menguasai bahasa asing agak mencabar tetapi jika ada minat maka perlulah bersungguh-sungguh mempelajarinya.” - Izz Amanda Delisha Saiful Nizam, 11.

Uwais Al Qarni.

Saya belajar bahasa Arab daripada umi, Alhamdulillah, kalau ayat mudah saya boleh faham, di rumah pun kadang-kadang umi berbahasa Arab dengan kami adik-beradik. Untuk tingkatkan penguasaan, saya perbanyakan membaca buku cerita ataupun menonton kartun. Oleh kerana saya bercita-cita menjadi ustaz, maka saya hendak lengkapkan diri dengan bahasa Arab untuk memahami maksud ayat-ayat dalam al-Quran.” - Uwais Al Qarni Mohd Lukman Hakim, 11.

Ahmad Al Jazari.

Saya boleh faham bahasa Arab yang mudah, jadi kalau di kelas saya seronok sebab mudah faham apa yang diajar. Pada waktu lapang, umi akan tolong saya dan abang belajar bahasa Arab secara santai, contohnya mengenal apa yang ada di sekeliling kita.” - Ahmad Al Jazari Mohd Lukman Hakim, 10

Artikel berkaitan

Tarik minat 177 pelajar MRSM Tingkatan 3, bangunkan aplikasi Artificial Intelligence (AI)

Ameera cemerlang di The University of Edinburgh, raih ijazah kelas pertama dan pingat pencapaian

Tahniah SK Kempadang! Berjaya tersenarai 3 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok