Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Perdana Menteri arah KPM tubuh pasukan khas, suntik minat murid belajar Sains dan Teknologi

AZLEENDA SAHALUDIN
16 May 2023 05:42pm
A
A
A

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menubuhkan pasukan khas bagi mencari jalan untuk menyuntik semula semangat anak-anak supaya meminati subjek berkaitan bidang Sains dan Teknologi.

Beliau berkata, dunia kini menuju kepada teknologi hijau terutamanya dalam bidang automotif, bagaimanapun dalam laporan terakhir diterimanya memaklumkan anak-anak kini kurang meminati subjek berkenaan terutama yang tinggal di kampung dan golongan miskin bandar.

“Saya telah minta Menteri Pendidikan untuk adakan pasukan khas bagi mencari jalan menyuntik semula semangat anak-anak supaya (bukan sahaja) dididik sebagai manusia tetapi juga diberikan bimbingan tentang cabaran dan disiplin baru dalam bidang Sains dan Teknologi.

“Kerana dari kajian awal, minat anak-anak terutama di desa, pedalaman dan miskin bandar dalam bidang Sains dan Teknologi dilihat merosot. Ini cabaran bagi kita dan negara yang menuju ke bidang teknologi hijau serta kereta elektrik.

“Cabaran iklim, digitalisasi tetapi tidak cukup anak-anak yang terlatih dalam bidang pengkhususan ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023 dengan bertemakan Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI.

Majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh itu turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying dan guru-guru dari seluruh negara.

Anwar turut meminta warga pendidik agar memberi kesempatan baru kepada kepimpinan kerajaan serta melonjakkan semangat rakyat untuk kembali menjadi negara hebat di rantau ini.

“Kita angkat negara ini dengan kekuatan bahasanya, sasteranya, budayanya, nilai dan akhlaknya serta teknologinya, diangkat sebagai satu negara hebat di rantau kita.

Artikel Berkaitan:

“Dan saya yakin Insya-ALLAH, kalau guru-guru ini komited seperti saudara lakukan, tingkatkan sedikit, saya percaya masa depan kita akan cerah. Kita ketinggalan lama dalam simpang-siur politik,” kata beliau.- Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok