mah
mah

Pergi mesyuarat PIBG, dapat hadiah kambing

Nor Azma  Muhamat Laila
01 Jul 2022 02:46pm
A
A
A

Pergi mesyuarat, dapat hadiah kambing. Kedengaran mungkin sedikit lucu atau pelik tetapi inilah yang berlaku ketika mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020, (SMKBB2020) yang ke-12, baru-baru ini.

Sekolah berkenaan mencipta kelainan apabila menawarkan hadiah utama seekor kambing untuk cabutan bertuah kepada ibu bapa yang hadir.

Yang Dipertua PIBG SMKBB2020, Profesor Madya Dr Ghazali Din berkata, idea spontan beliau itu disambut baik rakan-rakan ahli jawatankuasa, tiga hari sebelum mesyuarat berlangsung.

"Ia juga berjaya dilaksanakan hasil sumbangan daripada pengusaha alatan pendidikan, AR Edutech yang juga alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Abdul Rahman Bashah.

"Selain seekor kambing yang menjadi hadiah utama, terdapat hampir 100 hadiah cabutan bertuah sumbangan guru dan ibu bapa turut ditawarkan bagi menarik lebih ramai ibu bapa menghadiri mesyuarat berkenaan sehingga memenuhi dewan," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Ujarnya lagi, PIBG SMKBB2020 sentiasa aktif menganjurkan program yang membantu melahirkan modal insan untuk negara.

"Bagaimanapun, terdapat sedikit kekangan dalam penganjuran program dan aktiviti di sekolah kerana sehingga kini SMKBB2020 belum memiliki dewan untuk pelajar melaksanakan aktiviti sejak dibina lebih 10 tahun lalu.

"PIBG mengalu-alukan sumbangan kepakaran ibu bapa membantu sekolah secara sukarela selain tenaga pakar UPSI yang hebat demi kecemerlangan pelajar SMKBB2020 dalam akademik dan modal insan," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Sarimah Abd Aziz, 53, menganggap dirinya bertuah apabila diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah berupa seekor kambing jantan bernilai RM1,000.

Sarimah yang tinggal berdekatan sekolah berkata, beliau tidak menyangka namanya diumumkan sebagai penerima hadiah kambing dalam sesi cabutan bertuah berkenaan.

"Mungkin saya akan gunakan kambing ini untuk buat ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha nanti. Terima kasih kepada pihak penganjur kerana menyediakan hadiah yang 'luar biasa' ini," ujarnya.

Mesyuarat PIBG SMKBB2020 dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Hang Soon.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Daerah Muallim, Saiful Bahrin Sulaiman; Pengetua SMKBB2020, Mohd Sabry Deraman dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Behrang 2020, Kamarul Beharim Lasa.

Dalam pada itu, Hang Soon berkata, PIBG berperanan penting membantu pihak sekolah melahirkan pelajar yang cemerlang akademik, berbakat dan bersahsiah tinggi.

"Saya menggalakkan sekolah menerusi PIBG bersama-sama dengan Pejabat Pendidikan Daerah untuk melaksanakan program yang menggalakkan budaya membaca selain mengesan potensi diri setiap pelajar," tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok