uitm
uitm

Perkasa warga OKU di universiti, UiTM jalin kerjasama dengan Perkeso

Nor Azma  Muhamat Laila
14 Jan 2022 04:38pm
A
A
A

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjalin kerjasama bagi memperkasakan Orang Kurang Upaya (OKU) merangkumi bidang akademik, perundingan, penerbitan dan penyelidikan yang berkaitan dengan pengurusan hilang upaya.

Menerusi kerjasama itu juga, penyediaan perkhidmatan rehabilitasi oleh Perkeso akan dilaksanakan dengan kerjasama Hospital UiTM.

Naib Canselor UiTM, Profesor Ts Dr Roziah Mohd Janor berkata, menerusi MoU ini, program-program yang dapat memberikan persekitaran lebih inklusif, kondusif dan selamat kepada warga OKU UiTM untuk kembali bekerja dan belajar turut dibangunkan.

“Antaranya melalui Program Return to University (R2U) yang diadaptasi daripada Program Return to Work (RTW) PERKESO secara langsung dapat membantu warga UiTM yang cedera, menghidapi penyakit serta daripada golongan OKU untuk kembali bekerja atau belajar lebih awal, dalam keadaan yang sihat dan persekitaran yang selamat.

“Program R2U ini adalah merupakan program pertama yang seumpamanya diwujudkan di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia,” katanya dalam majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di UiTM Shah Alam, pada Rabu.

Kerjasama itu adalah antara gerak kerja lanjutan daripada Garis Panduan Pelaksanaan Dasar Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) di IPT bertujuan untuk menjadikan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia lebih inklusif dan mesra kepada semua terutamanya golongan OKU di negara ini.

Tambah Roziah lagi, dengan kemahiran dan maklumat daripada Perkeso sebagai sebuah organisasi yang berperanan dalam memperbaiki keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kerjasama ini dapat meluaskan lagi ruang untuk UiTM melaksanakan lebih banyak penyelidikan dan penerbitan terutamanya yang mengkhusus kepada pengurusan hilang upaya.

“Pembangunan warga OKU UiTM harus diberi penekanan secara keseluruhannya merangkumi mahasiswa dan staf OKU serta kakitangan yang mempunyai tanggungan OKU.

“Dalam konteks ini, UiTM telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPOUiTM) dan sekali gus menjadi universiti awam (UA) pertama di Malaysia yang meletakkan unit perkhidmatan OKU di bawah pentadbiran Pejabat Naib Canselor,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerjasama ini bukan sahaja dapat melahirkan lebih ramai ahli masyarakat yang memahami konsep pengurusan hilang upaya malah turut mempunyai kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi seperti sifat empati dan prihatin dalam menjalankan program dengan lebih efisien dan efektif.

“Kerjasama ini juga dapat memberi pendedahan awal mengenai pengurusan hilang upaya di Malaysia kepada golongan mahasiswa sebagai pemimpin pelapis masa depan negara,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok