Permohonan Al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab kini dibuka, mak ayah sila ambil perhatian!
Permohonan kemasukan ke program Al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab kendalian Kementerian Pendidikan (KPM) kini telah dibuka dan berakhir 18 Februari ini.
Pelajar lepasan Tingkatan Tiga bagi tahun 2022 dialu-alukan untuk memohon bagi ambilan Tingkatan Empat 2023.
Al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab (SUUA) merupakan penggabungan Kurikulum Kebangsaan Aliran Tahfiz Sains dalam Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan kitab turath untuk pelajar tahfiz terpilih pada peringkat menengah atas.
Pelaksanaannya bagi memantap dan memperkasa KBT dalam arus perdana ke arah melahirkan pelajar seimbang dan cemerlang dalam mata pelajaran berasaskan naqli dan aqli.
Selain itu, pelaksanaan SUUA ini juga adalah untuk menyediakan generasi ulama pelapis dan cendekiawan Islam mengikut acuan negara yang menghayati konsep Maqasid Syariah.
Bagi pelajar yang berminat, mereka perlu memenuhi beberapa syarat permohonan ditetapkan.
Syarat-syaratnya adalah
1) Warganegara Malaysia
2) Keutamaan kepada pelajar yang mengikuti KBT KPM dari sekolah-sekolah KPM, sekolah-sekolah Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Yayasan Negeri dan sekolah-sekolah swasta yang berdaftar dengan Bahagian Pendidikan Swasta atau Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN).
3) Pemilihan permohonan akan dinilai berdasarkan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kesihatan (PAJSK).
4) Pemohon memperoleh sekurang-kurangnya enam mata pelajaran dan mencapai Tahap Penguasaan 5 (TP5) termasuk subjek Bahasa Melayu; Matematik; Sains; Pendidikan Islam/Usul Al-Din/Al- Syariah dan Bahasa Arab/Al-Lughah Al-Arabiah Al-Muasirah.
5) Pemohon telah menguasai hafazan al-Quran sekurang-kurangnya 20 juzuk yang diperakukan oleh sekolah.
Pelajar yang berkelayakan boleh layari laman sesawang https://www.moe.gov.my untuk maklumat lanjut.
Semoga berjaya semua!